Muhammad Apendy Issahak


Cameron Highlands: Seorang mekanik maut akibat digilis treler dalam kemalangan di KM73.1 Jalan Besar Tringkap, berhampiran jambatan Tringkap, di sini, hari ini.

Arwah Mohamad Syazwan Mohamad Sabri, 19, yang berasal dari Kampung Kuala Gali Dong, Raub, dipercayai berkonvoi bersama 16 motosikal dari arah Brinchang ke Kampung Raja.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A Hamid, berkata dalam kejadian itu seorang lagi penunggang turut cedera akibat berlanggar dengan mangsa pada kemalangan 7.40 pagi.

"Kemalangan berlaku ketika menuruni selekoh. Mangsa dipercayai berlanggar dengan motosikal di hadapannya, terjatuh, memasuki laluan bertentangan sebelum digilis treler dari arah bertentangan

"Pemandu treler terbabit cuba membrek dan mengelak tetapi tidak sempat. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi hanya cedera,’ katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk mengambil keterangan rakan konvoi mangsa serta mengambil sampel darah dan air kencing pemandu treler.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 4:41 PM