GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Seorang lelaki bersama ibunya antara empat suspek yang ditahan susulan kematian seorang wanita dipercayai dibunuh di sebuah rumah kedai di Taman Song Choon, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 4.34 pagi tadi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerima maklumat mengenai pergaduhan yang pada mulanya disangkakan pertengkaran antara suami isteri di tingkat atas rumah itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa berusia 24 tahun yang lengkap berpakaian ditemukan terbaring di katil dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.

Beliau berkata, susulan itu polis menangkap teman lelaki mangsa berusia 23 tahun yang juga suspek utama selepas mengaku memukul wanitanya itu selain turut menahan tiga individu lain termasuk ibu suspek berusia antara 29 hingga 65 tahun yang berada di tempat kejadian.

"Dengan tertangkapnya suspek ini, maka kes bunuh ini berjaya diselesaikan. Pihak siasatan akan melengkapkan siasatan dan merujuknya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, perintah reman selama tujuh hari sudah diperoleh bagi menahan empat suspek hingga 1 Julai depan untuk siasatan lanjut.

Katanya, mangsa tinggal bersama suspek di rumah itu dan dikurniakan bayi lelaki berusia lapan bulan hasil hubungan tanpa ikatan perkahwinan.

Ditanya mengenai punca pergaduhan yang membawa kepada kematian wanita itu, Yahaya berkata, ia masih dalam siasatan namun dipercayai kerana suspek di bawah pengaruh dadah.

"Ujian saringan air kencing terhadap keempat-empat suspek mendapati hanya suspek utama iaitu teman lelaki mangsa positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Yahaya berkata, tiga suspek yang ditahan selain daripada teman lelaki mangsa tidak tinggal bersama namun datang ke lokasi kejadian.

Katanya, ketika ini bayi hasil hubungan mangsa dan suspek diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 4:17 PM