Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Polis menafikan rakaman video tular memaparkan kejadian samun bersenjatakan parang di sebuah rumah berlaku di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya mengesan rakaman video itu yang dikongsikan di media sosial dan WhatsApp kira-kira jam 5.30 petang Isnin.

Menurutnya, hasil semakan dan siasatan mendapati tiada sebarang laporan diterima berhubung kejadian itu.

"Rakaman bukan berlaku di daerah Tawau dan semakan dibuat mendapati kejadian ini berlaku pada 20 Mei 2024, jam 9.34 malam di Ayer Tawar, Perak, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Penyebaran kenyataan palsu ini 'Taman Berjaya Tawau-10 kes seperti ini dalam satu bulan, berhati-hati kita semua' mendatangkan khianat awam, panik dan kegusaran dalam kalangan masyarakat khususnya di daerah Tawau," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

JASMIN menunjukkan salinan tangkap layar berhubung penularan rakam video kes pecah masuk dan samun yang didakwa berlaku di daerah Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
JASMIN menunjukkan salinan tangkap layar berhubung penularan rakam video kes pecah masuk dan samun yang didakwa berlaku di daerah Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Jasmin berkata, susulan itu, pihaknya memanggil seramai sepuluh individu termasuk dua wanita masing-masing berumur antara 20 hingga 65 tahun untuk diambil keterangan berhubung penyebaran video berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan perbuatan menyebar atau mereka-reka berita palsu sama ada melalui hantaran atau perkongsian dalam apa juga bentuk termasuk teks, video dan audio sehingga menyebabkan kegusaran awam adalah kesalahan serius.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998," katanya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi dua minit dan lapan saat memaparkan dua lelaki memakai pelitup muka dengan masing-masing bersenjatakan sebilah parang dilihat memecah masuk sebuah rumah.

Tidak berapa lama kemudian, kedengaran suara jeritan dipercayai penghuni rumah terbabit sebelum kelibat seorang lelaki dilihat berlari keluar sambil diacukan parang oleh salah seorang suspek.

Suspek kemudiannya dilihat mengambil barang peribadi milik lelaki berkenaan sebelum kedua-duanya melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 3:40 PM