Abdul Rahemang Taiming


"TERIMA kasih kerana ambil berat keadaan kami, cuma kalau boleh, beri kami sedikit masa untuk memikirkan tawaran berpindah ke rumah baru," kata Jurrah Abdul Halim, 62, yang berkongsi 'istana' dengan suami, Amil Bala, 70-an, di kawasan pembuangan sampah di Jalan Damai dekat sini.

Sejak kisah mereka disiarkan Harian Metro semalam, Jurrah berkata, banyak pihak yang prihatin datang menziarah dan memberi sumbangan bekalan makanan dan wang ringgit.

"Bagaimanapun, kami berat hati untuk berpindah ke tempat lain kerana selesa tinggal di pondok ini.

"Bukan kami tidak mahu berpindah ke rumah yang ditawarkan itu, cuma banyak perkara yang bermain di fikiran sekarang.

"Kalau boleh, kami minta tangguh dahulu, bagi kami masa sehingga selepas Aidilfitri," katanya ditemui hari ini.

Terdahulu, suami isteri berkenaan menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Majlis Permuafkatan Sri Tahfiz Nadi Al-Baghdadi (MPSTNAB) Tawau.

Dalam pada itu, Pengarah MPSTNAB Ustaz Roslan Ramli berkata, pihaknya akan membantu pasangan berkenaan lebih-lebih lagi apabila melihat sendiri keadaan tempat tinggal mereka yang daif.

Keadaan di sekeliling pondok pasangan warga emas, di Jalan Damai Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Keadaan di sekeliling pondok pasangan warga emas, di Jalan Damai Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming

"Kami tampil hari ini bagi menyantuni mereka. Kami juga memujuk dan menawarkan mereka sebuah kediaman lebih selesa dan selamat tidak jauh dari kawasan ini.

"Ada beberapa buah rumah yang sesuai yang kami sudah kenal pasti. Segala perbelanjaan termasuk sewa rumah, utiliti serta kebajikan mereka akan kami tanggung," katanya.

Menurut Ustaz Roslan, pihaknya berharap pasangan itu akan mempertimbangkan tawaran berkenaan.

Semalam, Harian Metro melaporkan kedaifan hidup pasangan itu yang tinggal di pondok usang di kelilingi semak samun dan pokok pisang.

Pasangan yang tidak dikurniakan zuriat itu yang tidak turut tiada punca pendapatan hanya mengharapkan ihsan orang ramai demi kelangsungan hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 3:52 PM