Syed Saleh menyerahkan pembersih habuk kepada salah seorang jemaah menandakan kempen kebersihan di peringkat maktab sudah bermula. FOTO Husain Jahit
Syed Saleh menyerahkan pembersih habuk kepada salah seorang jemaah menandakan kempen kebersihan di peringkat maktab sudah bermula. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: Nilai kemabruran haji itu bukan hanya terletak kepada amalan pada musim haji semata-mata tetapi kebersihan diri dan tempat tinggal juga akan diambil kira.

Oleh itu, aspek kebersihan amat penting dan perlu dijaga rapi terutama ketika hari Masyair yang menjadi cerminan kemabruran haji seseorang.

Ketua Rombongan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kebersihan juga disifatkan sebagai pelengkap bagi seseorang jemaah untuk mendapatkan haji mabrur.

"Amalan kebersihan mestilah ditanam ke dalam minda dan amalan kita untuk menjadi tanda aras tanda aras kepada jemaah Malaysia dan ia perlu konsisten bermula ketibaan di Tanah Suci sehingga ke menjelang pulang ke tanah air."

"Hari Masyair adalah hari paling penting bagi setiap jemaah dan keadaannya amatlah perlukan tahap kesabaran yang tinggi. Jika aspek kebersihan tidak dijaga, maka tidak lengkap iman seseorang itu," katanya lagi pada Majlis Pelancaran Program Kebersihan Maktab, di sini kelmarin.

Program Kebersihan Maktab ini diilhamkan selepas TH mencapai kejayaan menerusi Kempen Kebersihan Masyair yang dilancarkan tujuh tahun lalu.

"Ia kemudiannya diperluas ke maktab-maktab penginapan jemaah haji pada tahun 2018 sebagai salah satu cara untuk memupuk semangat kerjasama dan gotong royong," katanya.

Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, sebagaimana tahun sebelumnya, pihak Tabung Haji menganjurkan Kempen Kebersihan Maktab dalam memastikan aspek kebersihan kekal menjadi penanda aras tertinggi jemaah haji Malaysia.

Katanya, program itu juga berjaya menjadi contoh kepada negara lain serta mendapat kepujian Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Sehubungan itu, bagi menggalakkan semangat kerjasama dan bergotong-royong ini, pertandingan bilik terbersih turut dianjurkan.

Pertandingan ini akan berlangsung hingga selepas hari masyair nanti dan penjurian akan dilakukan oleh petugas-petugas kita sendiri, manakala hadiah menarik turut disediakan untuk pemenang.

"Kita bukan sahaja menekankan kebersihan tapi kita tekankan sikap bergotong-royong dan muafakat lebih-lebih lagi dengan jumlah yang agak ramai dalam satu bilik.

"Dan seperti kita sedia maklum ada lima ke enam orang terdiri daripada pelbagai latar dan tahap sosio-ekonomi. Jadi dengan cara sebegini ia secara tidak langsung merapatkan ukhwah sesama jemaah hingga mereka balik nanti," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 9:10 PM