FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Muhamaad Razis Ismail


Kuala Lumpur: Pasangan suami isteri ini baharu sahaja mendirikan rumah tangga selama setahun.

Ketika masih dalam fasa 'bulan madu' itu, suaminya seorang penyayang dan sentiasa mengambil berat keadaan isterinya.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah selepas rumah tangga mereka diuji apabila wanita yang mahu dikenali sebagai Liza, 30, disahkan menghidap penyakit kanser darah.

Bekas suaminya tidak mempercayai Liza menghidap kanser dan mula berubah sikap dingin dengan tidak mengambil kisah terhadap masalah kesihatan yang dialami.

Liza berkata, selepas mendapati wujud bengkak di payudaranya, dia membuat pemeriksaan doktor sebelum beberapa ujian dijalankan mengesahkan dia menghidap kanser payudara.

Katanya, doktor memintanya menjalani rawatan segera sebelum kanser itu menjadi lebih serius.

"Saya memaklumkan terus kepada suami, namun dia tidak percaya. Saya tunjukkan bukti laporan dikeluarkan doktor. Namun suami masih tetap dengan pendirian.

"Baginya, saya hanya menghidap penyakit biasa dan tidak perlukan rawatan. Suami mempunyai pendirian tidak ercaya rawatan di hospital dan meminta saya berjumpa bomoh," katanya.

Menurutnya, oleh kerana enggan mengikut saranan suaminya itu, dia terpaksa menguruskan rawatan penyakit itu sendirian.

"Suami lepas tangan begitu sahaja. Saya perlu ke hospital bersendirian dan suami enggan membayar bil hospital biarpun bergaji agak besar.

"Perkara yang paling menyedihkan, ketika hari pertama saya menjalani rawatan kemoterapi, suami sanggup pergi bercuti dengan alasan aktiviti itu sudah dirancang lama," katanya.

Menyedari perkara itu, Liza meminta diceraikan biarpun baharu setahun mendirikan rumah tangga.

"Bekas suami bersetuju, dengan syarat, saya perlukan uruskan semua sendiri. Saya bersyukur urusan dipermudahkan dan akhirnya kami bercerai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 12:00 PM