Rahim Kidol
Rahim Kidol
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: "Saya pernah didatangi tawaran berlakon 13 episod dengan bayaran RM1,000. Cubalah bayangkan berapa dapat satu episod kalau dipecahkan bayaran ini. 

"Saya terpaksa tolak tawaran ini dengan baik kerana banyak perkara antaranya tak nak menjatuhkan nilai lakonan sendiri serta tak nak sakitkan hati kawan-kawan lain apabila terima tawaran ini,". 

Demikian kata pelakon veteran Rahim Kidol, 64, mengulas berkenaan tawaran berlakon tidak masuk akal terhadapnya dari sebuah produksi. 

Rahim yang dikenali menerusi slot Spektra di RTM era 1990-an berkata, dia bukanlah 'demand' tetapi meletakkan harga sesuai dengan bakat dan pengalamannya. 

Seiring dengan perkembangan masa, Rahim yang turut aktif melakukan alih bahasa mengakui amat jarang ditawarkan berlakon berbanding dahulu. 

Dia yang menetap di Taman Mas, Puchong bersyukur apabila seorang rakan menawarkannya bekerja sebagai deejay kedai menjual buah-buahan di situ. 

"Ia satu kawasan lot parkir yang ada gerai jual buah seperti durian. Masa mula-mula ditawarkan buat kerja itu, saya macam berat kerana tak pernah jadi deejay jual buah. 

"Tapi dia pujuk juga dan saya setuju. Di situ ada tiga rumah kontena yang dah diubahsuai selesa dan ada penghawa dingin. Saya disuruh tinggal di situ. 

"Dia beri saya rumah tengah yang tempatkan barang sistem audio video kat situ. Jadi  saya bercakap dari dalam itu. Saya dah seronok dan kekal kerja selama setahun," katanya kepada Harian Metro. 

Bagaimanapun situasi buah yang bermusim membuatkan Rahim yang mempunyai lima anak terfikir untuk mencari kerja lain. 

"Anak-anak sebenarnya larang saya bekerja. Tapi mereka kata kalau saya rasa sebagai terapi untuk aktif okeylah. 

Pada masa sama, Seniman tahu berkenaan saya dan datang melawat rumah kontena itu.

"Mereka tawarkan untuk bantu dapatkan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kadar sewa RM124 atau RM250 sebulan. Saya setuju dengan tawaran mereka. 

"Empat anak saya dah kahwin, manakala anak keempat yang masih bujang tinggal dengan saya termasuk di rumah kontena. Kalau nanti dapat rumah PPR pun dia akan tinggal dengan saya. Dia pun bekerja dan tiada masalah nak bayar sewa bulanan," katanya. 

Rahim yang berasal dari Sungai Besar, Selangor berkata, dia tidak menyesali nasibnya dan menerima ujian Allah dengan hati terbuka.

"Esok saya akan bekerja di sebuah hotel milik rakan di Klang. Dia tawarkan saya bantu operasi hotelnya yang baru dibuka. Dia turut berikan saya satu bilik untuk tinggal di situ.

"Gajinya taklah besar tapi saya tak kisah kerana yang penting ada kerja," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 12:50 PM