NORFARAHANA tidak dapat menahan air matanya apabila bercerita mengenai keluarganya. FOTO Husain Jahit
NORFARAHANA tidak dapat menahan air matanya apabila bercerita mengenai keluarganya. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: "Masa kecil saya tidak pernah sama dengan kanak-kanak lain yang terus bergembira apabila dapat duit raya, mereka beli jajan, beli mainan dan macam-macam lagi. Tapi saya terus tertanya-tanya mana duit raya saya?" kata Norfarahana Ahmad Sukri, 25.

Dia berkata, itu persoalan itu sering ditanyakan kepada ibunya, Rosnah Hashim, 61, setiap kali musim hari raya.

"Kami orang susah, ibu seorang suri rumah yang sangat sederhana dan arwah ayah pula seorang pemandu bas. Dengan pendapatan ayah yang sangat terhad, tetapi berkat kesabaran dan sifat ibu yang pandai berjimat-cermat, inilah hasilnya, inilah hadiahnya… saya dapat menunaikan haji pada usia muda hasil simpanan ibu," katanya ketika ditemui Petugas Media TH di sini, baru-baru ini.

Kata anak bongsu dari tiga orang adik-beradik itu, apabila dewasa, barulah dia tahu bahawa semua duit raya pemberian saudara-mara, dalam diam-diam disimpan oleh ibu di dalam akaun Tabung Haji.

Abang dan kakaknya sudah menunaikan haji bersama ibunya pada 2019, kecuali dia yang mungkin disebabkan ketika itu baru 17 tahun.

"Apa yang menyedihkan ialah pada tahun itulah jugalah (2019) ayah meninggal dunia tanpa sempat menunaikan haji. Saya masih ingat sewaktu menghantar mereka ke Movenpick di Sepang, untuk menunaikan haji, saya terasa seolah-olah ayah ada bersama kami ketika itu," katanya lagi yang sekarang bertugas sebagai seorang guru pendidikan prasekolah di Johor Bahru.

Mengenang kembali pengorbanan ayah yang bekerja siang dan malam untuk menyara mereka sekeluarga sehingga mampu mendaftarkan mereka sekeluarga menunaikan haji pada 2008, menyebabkan Norfarhana tidak dapat menahan daripada mengalirkan air mata ketika menceritakan perkara itu.

"Ketika itu kami hidup dalam kesusahan, ibu pernah tanya ayah cukup atau tidak wang untuk daftar haji untuk kami sekeluarga, tetapi ayah cakap ada, Allah bagi rezeki lebih untuk kesemua anaknya dan inilah hasilnya," katanya yang pernah menolak tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar ekoran masalah kewangan.

Kata Norfarahana, jika dia terima tawaran ke Universiti Al-Azhar, dia tidak dapat ada ketika bapanya meninggal dunia.

"Saya tidak keluarkan duit satu sen pun, semua duit tabungan ibu dan arwah ayah. Saya sangat bersyukur apabila ditawarkan menunaikan haji.

"Apatah lagi dalam usia muda, perasaannya bercampur baur antara gembira dan gementar lebih-lebih lagi tiada ahli keluarga yang bersama ke Tanah Suci," katanya lagi.

Namun, dia sememangnya bercita-cita menunaikan haji meneruskan hasrat itu selepas melihat usaha gigih arwah ayahnya serta ibu yang mula menabung bagi menunaikan ibadah terbabit sejak kecil lagi.

NORFARAHANA (kiri) bersama dua Sahabat Maktab ceria ketika menyantuni golongan tua yang kelihatan sudah kepenatan. FOTO Husain Jahit
NORFARAHANA (kiri) bersama dua Sahabat Maktab ceria ketika menyantuni golongan tua yang kelihatan sudah kepenatan. FOTO Husain Jahit

Apabila sampai ke Madinah, baru-baru ini, perkara yang pertama yang dilakukan adalah sujud syukur dan walaupun berseorangan menunaikan rukun Islam kelima itu.

Dia yakin Allah dan Tabung Haji akan sentiasa membantunya.

"Saya sentiasa ingat pesanan ibu, sepanjang di sini jaga solat, istiqamah dan yang penting bantu jemaah dan anggap mereka seperti mak ayah sendiri. Sebab itu di sini memang saya panggil jemaah wanita, ummi, mak, mama dan juga ibu," kata anak manja itu yang turut menjadi Sahabat Maktab.

Seramai 315 jemaah dilantik menjadi Sahabat Maktab yang mewakili sembilan maktab, terdiri dalam kalangan jemaah dan mereka dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Sahabat Hujjaj, Sahabat Ibadat dan Sahabat Medik

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 8:59 AM