ABDULLAH Ali Abdul Rahman terbabit dengan kemalangan semalam. FOTO Mohd Rafi Mamat
ABDULLAH Ali Abdul Rahman terbabit dengan kemalangan semalam. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: "Semasa kemalangan berlaku, saya hanya ingat nasib empat penumpang terutama dua kanak-kanak".

Demikian pengalaman mencemaskan dikongsikan pemandu ambulans Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Abdullah Ali Abdul Rahman, 59 yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 47.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bentong, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.05 tengahari itu, ambulans yang

dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 47.3 lebuh raya berkenaan.

Abdullah berkata, dia dalam perjalanan pulang dari menghantar pesakit Orang Asli selepas mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur untuk dihantar ke Kampung Bukit Serok, Rompin.

"Kenderaan yang saya pandu bergesel dengan MPV terbabit menyebabkan ambulans berpusing beberapa kali menyebabkan dua penumpang termasuk seorang kanak-kanak tercampak keluar dari kenderaan.

"Kemalangan berlaku semalam menjadi sejarah hitam sepanjang lebih 29 tahun sebagai pemandu ambulans JAKOA Pahang," katanya dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata, dia bersyukur tidak mengalami kecederaan serius dalam kemalangan semalam, hanya sakit badan disebabkan terhempas beberapa kali. Mangsa lain juga cedera ringan kecuali seorang kanak-kanak yang tercampak keluar kenderaan.

Dia yang boleh bertutur dalam bahasa Jakun kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSAS) Temerloh, empat mangsa lagi dirawat di hospital sama dan

Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Sementara itu, Pengarah JAKOA Pahang, Johari Alwi berkata Abdullah adalah pemandu senior dalam jabatan dan berpengalaman luas mengendalikan ambulans milik jabatan itu.

"Kita membantu setiap mangsa kemalangan semalam mendapatkan rawatan, semua akan diuruskan JAKOA.

"Pegawai JAKOA daerah dan negeri akan memantau perkembangan setiap mangsa termasuk pemandu ambulans (Abdullah), mereka akan menerima semua kemudahan yang diperlukan," katanya.

Johari berkata, Abdullah yang sebelum ini menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) turut terbabit memindahkan pesakit dan mayat Orang Asli dijangkiti Covid-19 ke kampung mereka untuk proses pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 1:06 PM