Kaunseling awal bantu tenang hadapi dugaan.
Kaunseling awal bantu tenang hadapi dugaan.
Muhamaad Razis Ismail


Kuala Lumpur: Pendedahan menyedihkan apabila Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) menganggarkan sebanyak 30 peratus wanita yang menghidap kanser berdepan krisis rumah tangga yang serius.

Masalah ini termasuk diabaikan suami, terpaksa tinggal berasingan dan lebih teruk perkahwinan berakhir dengan perceraian.

Pengarah Urusannya, Dr Murallitharan Munisamy berkata, situasi malang ini berlaku berikutan kegagalan suami untuk menerima isteri yang didiagnosis dengan penyakit kanser.

Katanya, sepatutnya apabila seseorang dikenal pasti mengidap kanser, ahli keluarga terdekat terutama suami adalah sistem sosial yang sepatutnya memainkan peranan sebagai penjaga dan sokongan kepada pesakit.

"Bagaimanapun, sebaliknya berlaku apabila mereka tidak bersedia untuk menerima kenyataan insan terdekat menghidap penyakit itu.

"Keadaan ini menyebabkan berlaku perselisihan faham yang lama-kelamaan menjadi serius sehingga menyebabkan ada pasangan yang tinggal di rumah adik beradik dan ibu bapa kerana tidak mendapat sokongan diperlukan daripada suami.

"Lebih parah, ada dalam kalangan pesakit kanser diceraikan suami yang tertekan sejurus mengetahui isteri disahkan menghidap penyakit itu," katanya.

Menurutnya, masalah rumah tangga yang terpaksa dihadapi oleh pesakit kanser wanita ini umpama jatuh ditimpa tangga.

"Ia sudah pasti memberi tekanan tambahan kepada mereka yang pada masa sama perlu menjalani pelbagai prosedur rawatan kanser.

"Semua pesakit kanser akan mengalami tekanan termasuk ketakutan dengan penyakit yang sedang dihadapi. Keadaan ini boleh menyebabkan kebimbangan melampau dan kemurungan sekiranya tidak dikawal.

"Apabila berlaku masalah rumah tangga, ia boleh menyebabkan kesihatan mental pesakit menjadi lebih serius sekali gus memberi kesan terhadap penyakit kanser yang sedang dihadapi.

"Lebih parah, ada dalam kalangan pesakit kanser yang sudah mengangkat 'bendera putih' dengan rawatan walaupun masih boleh dirawat berikutan tekanan emosi dihadapi," katanya.

Mengulas lanjut, apabila institusi kekeluargaan membabitkan pesakit kanser wanita runtuh, sukar untuk dirinya melawan penyakit dalam jangka masa yang panjang.

"Bagi saya, ini adalah satu keadaan yang benar-benar menyedihkan dan menyayat hati," katanya.

Justeru, beliau menyarankan kepada isteri yang didiagnosis dengan kanser mengambil langkah awal dengan menjalani sesi kaunseling untuk diri dan bersama pasangan sebagai persediaan untuk berdepan dengan ujian ini.

"Melalui usaha ini, mereka akan diberi pengetahuan untuk bersama-sama menghadapi situasi ini dan bagaimana suami dapat memainkan peranan dan menerima secara positif keadaan isteri sekali gus membantu kesembuhan pasangan.

"Pendekatan holistik membabitkan seluruh ahli keluarga dan peranan suami amat diperlukan dalam membantu perawatan kepada pesakit kanser. Isu ini perlu terus diketengahkan dalam kalangan masyarakat supaya kesedaran boleh terus dipertingkatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 12:01 PM