Zubir Khan. Foto Instagram
Zubir Khan. Foto Instagram
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Komposer juga penyanyi lagu Tamil, Zubir Khan, 24, pernah berasa 'insecure' (tidak selamat) kerana tiada sebelah tangan, namun kini baginya kesedihan dan kemurungan itu sudah berlalu.

Zubir atau nama sebenarnya, Muhammad Zubir Mohamad Ali yang semakin popular selepas lagu dinyanyikan tular berkata, sekarang dia berasa bebas menunjukkan 'kekurangan' itu tanpa perlu disorok atau ditutupi lagi hanya kerana rasa sedih dengan pertanyaan orang lain.

"Dulu, masa awal-awal (masuk industri hiburan) saya ada rasa sedih sebab orang tak tengok bakat, tetapi tengok 'kekurangan saya. Namun, sekarang saya dah tak sorok lagi dan saya tunjukkan saja.

"Sebabnya, saya kini dah ada 'self confident' (keyakinan diri) dan tak rasa 'insecure' lagi, jadi saya dah mula tunjuk dah. Dulu, ada rasa 'insecure' sebab orang akan pandang dan kata, 'eh tak ada tangan' dan saya sedih.

"Sekarang ini bila dah lama-kelamaan, saya rasa dah tiada yang itu (kesedihan) dah. Pada ketika ini, saya sudah sampai tahap rasa, nak cakap apa cakaplah. Kalau ada komen negatif pun, saya anggap mungkin yang tulis komen itu tidak matang," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zubir, dia gembira dan bersyukur apabila sekarang dirinya semakin cekal serta positif berhadapan komen-komen netizen walaupun ada segelintir yang berbaur negatif terhadap 'kekurangan' dirinya.

"Saya rasa kini dah boleh hadap benda itu (komen negatif). Saya tak 'koyak' dengan komen-komen sebegitu lagi.

"Apapun, kepada mereka yang mungkin senasib dengan saya (ada kekurangan diri) diingatkan agar selagi tak cuba, jangan dah kata kita tidak boleh. Kalau ada 'kekurangan' itu daripada fizikal, mesti Allah beri satu kelebihan lain," katanya.

Zubir yang juga anak bongsu daripada lima beradik difahamkan kehilangan sebelah tangannya ketika berusia empat tahun akibat termasuk ke dalam mesin kek di kilang roti milik keluarganya di Sepang, Selangor.

Bangkit membuktikan dia juga boleh berjaya walaupun tiada sebelah tangan, Zubir menceburi nyanyian dengan menyanyikan lagu-lagu Tamil di majlis perkahwinan, berikutan juga dia membesar di kawasan estet.

Sudah menghasilkan tujuh lagu Tamil ciptaan dan lirik ditulisnya sendiri sejak 2019 yang kini popular di YouTube, antara lagu itu ialah Thevadhai, Nenji Yenghutu, Marainthe Uyire, Soga Kathai, Per Yenne Solle, Yennode Macha dan OMK (Oh My Khadhale) duet bersama Ezra Kairo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 11:49 AM