EVEREST Fish Curry. FOTO SFA
EVEREST Fish Curry. FOTO SFA
Agensi

Singapura: Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan produk Everest Fish Curry Masala dari India, ditarik balik dari pasaran, kerana mengandungi etilena oksida atau racun perosak pada paras melebihi had dibenarkan.

Memetik laporan Channel News Asia, SFA berkata, etilena oksida adalah racun perosak yang tidak dibenarkan untuk digunakan dalam makanan, walaupun ia dibenarkan untuk digunakan dalam pensterilan rempah.

Langkah itu dibuat selepas Pusat Keselamatan Makanan di Hong Kong mengeluarkan pemberitahuan mengenai penarikan balik dari pasaran terhadap campuran rempah itu.

Memandangkan Everest Fish Curry Masala diimport ke Singapura, SFA mengarahkan pengimport, Sp Muthiah & Sons, untuk menarik balik produk itu.

Produk yang terjejas dibuat di India dan seberat 50 gram, dengan tarikh luput sebelum September 2025. Penarikan balik sedang berjalan.

Menurut SFA lagi, walaupun tiada risiko serta-merta terhadap pengambilan makanan yang tercemar dengan paras rendah etilena oksida, namun pendedahan jangka panjang kepada bahan itu boleh membawa kepada isu kesihatan.

"Oleh itu, pendedahan kepada bahan ini harus diminimumkan sebanyak mungkin.

"Mereka yang menggunakan produk terbabit dan mempunyai kebimbangan mengenai kesihatan mereka harus mendapatkan nasihat perubatan. Pengguna boleh menghubungi tempat pembelian mereka untuk pertanyaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 10:13 AM