GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

New Delhi: Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida, satu racun perosak karsinogenik pada paras yang tidak selamat

Pihak Berkuasa Standard dan Keselamatan Makanan India (FSSAI) mengambil sampel rempah-ratus daripada semua jenama di dalam negara ini.

"Setiap produk tersampel akan dianalisis untuk pematuhan parameter kualiti dan keselamatan," kata FSSAI yang dipetik dalam laporan media.

Jualan produk daripada dua jenama popular India dihentikan baru-baru ini di Singapura, Hong Kong dan Maldives.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) juga membuka siasatan terhadap dakwaan bahawa rempah-ratus mereka mengandungi paras racun perosak pengakibat kanser yang tinggi.

Salah sebuah syarikat berkenaan berkata ia telah mematuhi standard keselamatan dan kesihatan tempatan serta antarabangsa dan menolak kewujudan etilena oksida.

"Kami mengatakan dan menjelaskan dakwaan ini adalah palsu dan tiada bukti kukuh. Tambahan pula, kami tidak menerima sebarang makluman daripada pegawai kawal selia Singapura atau Hong Kong," katanya dalam satu kenyataan pada 28 April.

Pusat Keselamatan Makanan Hong Kong (CFS) pada bulan lepas menyatakan ia mengambil beberapa sampel beberapa produk campuran rempah-ratus dan mendapati produk berkenaan mengandungi etilena oksida.

"Orang ramai tidak sepatutnya menggunakan produk yang terkesan itu. Perniagaan seharusnya berhenti menggunakan atau menjual produk terkesan itu dengan segera jika mereka memilikinya," kata CFS memberi amaran kepada penjual bahawa mereka boleh disaman atau dipenjarakan jika sabit kesalahan.

Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-ubatan Maldives (MFDA) juga mengeluarkan satu peringatan bulan lepas, meminta pengguna untuk tidak menggunakan serbuk rempah-ratus daripada jenama terlibat.

Lembaga Rempah-Ratus India, sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri pada bulan lepas mencari data eksport kedua-kedua pengeluar ke Hong Kong dan Singapura serta mengadakan libat urus dengan syarikat berkenaan untuk mencari punca sebenar isu ini, menurut sebuah laporan media India.

"Pemeriksaan menyeluruh di kemudahan pengeksport juga sedang dijalankan bagi memastikan pematuhan kepada standard kawal selia... lembaga ini sudah berhubung dengan perwakilan India di Singapura dan Hong Kong untuk mendapatkan maklumat lanjut, " menurut kenyataan Lembaga Rempah-Ratus seperti yang dipetik media.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 8:09 AM