TINJAUAN penjualan mi segera. FOTO Genes Gulitah
TINJAUAN penjualan mi segera. FOTO Genes Gulitah
Nisaa Iryanie Azhar


Kuala Lumpur: Penarikan semula dua mi segera berjenama Indomie: Special Chicken Flavour dan Ah Lai White Curry Noodles menyebabkan kebanyakan pengguna bimbang sama ada mi segera selamat dimakan atau tidak.

Tinjauan Harian Metro mendapati rata-rata penggemar mi segera mempersoalkan kandungan makanan itu yang berada di pasaran.

Suri rumah, Linda Hadi, 40, berkata, mi segera adalah makanan yang mudah, cepat dan 'wajib' dibeli sebagai barang dapur.

Katanya, hampir semua lapisan umur makan mi segera, jadi kerajaan perlu memainkan peranan yang penting untuk menghindar sebarang kesan bahaya kepada pengguna.

"Kerajaan perlu kaji semula bahan yang digunakan dalam mi segera supaya kandungan yang berbahaya tidak terlepas lagi seperti isu baru-baru ini,

"Setiap jenis mi segera yang ada perlu melalui ujian teliti untuk menapis bahan berbahaya ini," katanya.

Linda berkata, dia lebih gemar memilih jenama mi segera yang biasa muncul di televisyen untuk dirinya dan keluarga.

Sementara itu, pekerja swasta, Rifki Manaf, 35, bersetuju dengan tindakan penarikan semula mi segera terbabit.

"Saya sebagai pengguna akan beli saja tanpa berfikir panjang kerana ingat makanan terbabit selamat kerana ada di pasaran,

"Saya pun tidak sangka yang mi segera mengandungi kandungan berbahaya, jadi tindakan kerajaan akan memberikan kesan positif untuk kesihatan masyarakat," katanya.

Rifki berkata, disebabkan isu itu pihak bertanggungjawab perlu menyelidik semula kandungan makanan segera dan makanan bertin.

Harian Metro melaporkan Jabatan Kesihatan Taipei mendapati mi segera berjenama Ah Lai White Curry Noodles dari Malaysia dan Indomie: Special Chicken Flavour dari Indonesia mengandungi etilena oksida yang juga sebatian kimia dikaitkan dengan penyakit limfoma dan leukemia

Susulan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan dua produk terbabit ditarik balik dari pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 3:43 PM