RAZARUDIN Husain. FOTO NSTP
RAZARUDIN Husain. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kertas siasatan berhubung kolumnis Andrew Sia yang mendakwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengamalkan sistem Apartheid dirujuk kepada pejabat Peguam Negara (AGC), semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan Andrew Sia dan kertas siasatan juga selesai dilengkapkan.

"Kita masih menunggu arahan lanjut berkaitan kes itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jumaat lalu, Razarudin dilaporkan berkata, sebanyak 63 laporan diterima polis selain merakam percakapan 65 individu bagi membantu siasatan kes dakwaan UiTM mengamalkan sistem Apartheid.

Menurutnya, ia membabitkan 63 individu yang membuat laporan polis di seluruh negara serta dua individu daripada portal berita tempatan.

Pada 24 Mei lalu, polis mengesahkan membuka siasatan terhadap Andrew Sia berkaitan penulisannya dalam sebuan portal mendakwa UiTM mengamalkan sistem Apartheid.

Ia susulan laporan pertama dibuat oleh ketua penerangan sebuah parti politik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1988.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 2:43 PM