Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib. FOTO AMIR MAMAT
Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Ayer Keroh: Universiti Teknologi MARA (UiTM) mahu semua pihak memahami fakta sebenar tujuan asal penubuhan universiti itu sebelum membuat sebarangan kenyataan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib, berkata, kenyataan yang dibuat tanpa merujuk kepada fakta sebenar akan menimbulkan pelbagai andaian, sekali gus meruntuhkan imej institusi pendidikan Bumiputera terbesar di Malaysia itu.

"Antara budaya ilmu orang Melayu, (contohnya) dalam budaya pantun, pertama kena fikir pembayang dan kemudiannya maksud dan ia perlu saling berkait serta jelas. Begitu juga, jika seseorang yang hendak mengeluarkan kenyataan, mereka perlu fikir dahulu sebelum bercakap (sesuatu perkara).

"Kita tidak boleh lari daripada asas utama di UiTM (yang dikaitkan) dengan Melayu dan Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan.

"Mereka yang tidak bertanggungjawab pasti akan cuba mencapai satu matlamat yang memenuhi keperluan mereka sebab setiap daripada kita mempunyai agenda yang berbeza, tetapi bagi kami di UiTM, jelas fungsi kami sebagai sebuah universiti adalah untuk mendidik anak bangsa," katanya selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Teknologi dan Media Sosial Dalam Membentuk Minda MADANI, sempena Konvensyen MADANI Melaka 2024, di Hotel Ames, di sini, tadi.

Shahrin turut menolak dakwaan kononnya UiTM sebagai `Akademi Apartheid'.

Beliau berkata, fungsi universiti awam itu adalah jelas seperti termaktub dalam Akta UiTM (Akta 173) yang tidak langsung mendidik berdasarkan kefahaman pensyarahnya mahu pun pelajarnya.

Katanya, perlu diingat bahawa UiTM tidak pernah menafikan mana-mana pihak dalam melahirkan pakar dalam pelbagai bidang, tanpa menafikan hak masyarakat majmuk kepada akses pendidikan sedia ada di negara ini.

"Sejak negara mencapai kemerdekaan, sistem pendidikan di negara ini semakin meluas, malah kerajaan sendiri membenarkan penguatkuasaan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 termasuklah Akta UiTM atau Akta 173.

"Saya boleh katakan peluang pendidikan hari ini lebih daripada apa yang masyarakat memerlukan kerana peluang pendidikan itu sangat luas jadi tak timbul orang yang dinafikan haknya," katanya.

Semalam, kolumnis sebuah portal berita melalui penulisannya mengaitkan UiTM dengan amalan sistem aparteid yang membawa maksud sistem diskriminasi secara ras dan pengasingan kaum.

Sistem Apartheid adalah suatu dasar segregasi kaum yang zalim sehinggamemuliakan kaum orang putih berbanding orang kulit hitam di Afrika Selatan.

Mengulas lanjut, Shahrin berkata UiTM jelas dengan fungsinya dalam konteks kerjasama di semua peringkat sehingga ke pelbagai syarikat multinasional dalam dan luar negara.

Katanya, UiTM juga memberi pendedahan kepada semua mahasiswanya mengenai realiti masyarakat majmuk di Malaysia, termasuk daripada kepelbagaian agama dan etnik yang perlu bekerjasama untuk membangunkan kepada negara.

"UiTM langsung tidak mendidik dari segi kefahaman pensyarahnya mahupun anak didiknya (mengenai diskriminasi) jauh sekali, tidak langsung tergambar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 4:26 PM