AZAM Baki hadir pada majlis menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik di Malaysia, di Pusat Konvensyen Leo Moggie TNB Platinum Bangsar, Kuala Lumpur. FOTO Bernama
AZAM Baki hadir pada majlis menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik di Malaysia, di Pusat Konvensyen Leo Moggie TNB Platinum Bangsar, Kuala Lumpur. FOTO Bernama
Hazwan Faisal Mohamad dan Ilah Hafiz Aziz

Kuala Lumpur: Pasang kunci dan kamera litar tertutup (CCTV) canggih pada aset penting Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjadi antara tiga cadangan utama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengelakkan kerugian kos akibat kecurian arus elektrik di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, dalam usaha mengurangkan kerugian dan ketirisan, TNB perlu melakukan pemasangan 'barrel lock' pada kotak meter di premis pengguna di kawasan berisiko.

Katanya, ia perlu dipasang di kawasan industri dan komersial bagi memastikan pertahanan aset-aset TNB dapat dipertingkatkan dan juga mengurangkan kerugian akibat kecurian arus elektrik dan pengubahsuaian meter.

"Kedua pemasangan sistem biometric secara bersasar kepada 'PE atau feeder pillar' yang berisiko bagi memastikan rekod keluar masuk secara bersistem.

"Ketiga, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) online di pencawang masuk utama secara bersasar bagi mengenal pasti individu atau kumpulan yang menceroboh dan mencuri arus elektrik," katanya dalam ucapan pada Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Datuk Abdul Razib Dawood dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Mengulas lanjut Azam berkata, usaha yang sudah digerakkan TNB dalam mengurangkan risiko dan kecurian arus elektrik mampu memberi manfaat dalam membendung kerugian kos akibat kecurian arus elektrik.

"Daripada tindakan-tindakan pencegahan yang dilaksanakan, TNB sudah dapat mengurangkan kerugian sebanyak 10.02 peratus bagi 2022 seterusnya pengurangan sebanyak 9.25 peratus bagi 2023.

"SPRM berharap hasil daripada inisiatif penambahbaikan yang dijalankan ini akan terus dapat mengurangkan kerugian disebabkan aktiviti curi arus elektrik ini seterusnya dapat menyelamatkan wang negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 2:30 PM