ANGGOTA TNB memotong bekalan elektrik sambungan secara haram untuk melombong bitcoin di sebuah premis perniagaan sekitar Ipoh. FOTO Rohanis Shukri
ANGGOTA TNB memotong bekalan elektrik sambungan secara haram untuk melombong bitcoin di sebuah premis perniagaan sekitar Ipoh. FOTO Rohanis Shukri
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Gelap gelita seperti tidak berpenghuni namun keadaan di dalamnya amat bising, berbahang dan bergegar.

Bahkan lebih buruk lagi, lantai dan dinding premis dipenuhi kabel elektrik berselirat yang membahayakan nyawa serta berisiko berlaku litar pintas dan kebakaran.

Itu keadaan premis rahsia digunakan sindiket mata wang digital atau kripto bitcoin sebagai 'pusat' melombong mata wang terbabit membabitkan nilai jutaan ringgit sebulan.

Kegiatan haram dibongkar hasil risikan pasukan Special Engagement Against Losses (Seal) Tenaga Nasional Berhad (TNB) yangf melakukan Op Bitcoin di Puchong, Selangor, Ipoh dan Kampar, Perak baru-baru ini.

Operasi disertai wartawan Harian Metro bertujuan menjejaki serta menumpaskan sindiket mencuri bekalan elektrik untuk aktiviti jenayah itu.

Lebih mengejutkan apabila operasi dua hari membongkar kewujudan 94 premis didapati melakukan penyambungan elektrik secara haram.

Hasil operasi mendapati operator sindiket bitcoin mencuri bekalan elektrik melalui sambungan haram pada pepasangan TNB dan ada yang membuat usikan pada pepasangan meter serta kotak agihan (feeder pillar).

Bekalan elektrik disyaki dicuri dialirkan ke Residual Current Circuit Breaker (RCCB) atau pemutus litar arus baki yang dipasang sendiri sindiket sebelum kabel disambung terus ke mesin melombong bitcoin.

Risikan mendapati mesin melombong bitcoin diletak dalam bilik kecil dilengkapi alat penyedut haba (blower) dan kipas menyejukkan ruang susulan penggunaan tenaga elektrik yang tinggi.

Wartawan mengikuti serbuan di tiga premis mendapati semua premis dilengkapi pintu kebal malah ada turut dipasang kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai bagi memantau kehadiran pihak berkuasa.

Pasukan TNB mengambil masa satu jam memecahkan pintu kebal sebelum dapat memasuki premis itu.

Ketika memasuki premis, wartawan diingatkan supaya berhati-hati berikutan keadaan bilik gelap dan berisiko terkena renjatan elektrik.

SINDIKET mencuri bekalan elektrik untuk kegiatan melombong bitcoin mengaut keuntungan jutaan ringgit. FOTO Rohanis Shukri
SINDIKET mencuri bekalan elektrik untuk kegiatan melombong bitcoin mengaut keuntungan jutaan ringgit. FOTO Rohanis Shukri

Ketua Jurutera Seal TNB, Megat Nasaruddin Megat Mazlan berkata, serbuan dilakukan susulan risikan tiga bulan sebaik pihaknya mengesan penggunaan elektrik mencurigakan.

"Pasukan kami menggunakan dron pengesan haba. Selepas kami syak mana-mana premis menggunakan tenaga elektrik mencurigakan, anggota kami menerbangkan dron untuk mengesan haba di kawasan itu.

"Apabila alat pengesan berubah kepada warna merah, bermakna premis itu menjalankan kegiatan melombong bitcoin," katanya.

Menurutnya, premis didapati melakukan penyambungan elektrik secara haram akan diambil tindakan mengikut Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Beliau berkata, TNB tidak boleh melakukan tangkapan kerana ia di luar bidang kuasa, namun pemilik akaun boleh dikenakan tindakan sivil di mahkamah.

"Kebiasaan premis diserbu tiada penghuni kerana keadaan di dalamnya yang panas. Cuma apabila bekalan elektrik terputus, ahli sindiket berperanan sebagai juruteknik akan datang memeriksa," katanya.

Ditanya mengenai modus operandi sindiket, beliau berkata, aktiviti perlombongan bitcoin membabitkan penggunaan rangkaian komputer berkuasa tinggi dan beroperasi 24 jam tanpa henti 'menyebabkan sindiket mencuri bekalan elektrik bagi mengelak membayar bil yang tinggi setiap bulan.

Katanya, sindiket menyasarkan premis perniagaan terbiar atau bangunan baharu. Mereka gemar menggunakan tingkat atas bangunan kerana sukar dikesan berbanding menggunakan rumah untuk kegiatan itu.

Sindiket hantar peluru kepada anggota TNB

Sindiket perlombongan mata wang digital atau kripto makin berani dan agresif apabila mengupah tonto mengancam keselamatan petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Penggunaan tonto sebagai peninjau upahan dipercayai bertujuan memastikan pihak sindiket dapat meneruskan aktiviti perlombongan haram tanpa diganggu.

Tonto terbabit bukan sekadar membocorkan maklumat pergerakan anggota TNB, malah turut menggunakan kekerasan dan ugutan demi melindungi aktiviti sindiket yang menyalahi undang-undang.

Wartawan Harian Metro yang menyertai Op Bitcoin bersama pasukan Seal TNB di Ipoh, Perak berdepan situasi cemas apabila diintip seorang lelaki memandu kereta mewah disyaki tonto.

Lelaki terbabit dilihat merakam pergerakan pasukan yang mengadakan taklimat operasi namun hasil perancangan teliti Seal bersama Jabatan Perkhidmatan Keselamatan (JPK) TNB, tonto terbabit tidak dapat mengesan pergerakan dan lokasi tepat serbuan.

KAMARUL Azam. FOTO Rohanis Shukri
KAMARUL Azam. FOTO Rohanis Shukri

Ketua Strategic Business Units (SBU Meter) TNB, Kamarul Azam Abu Kassim menyifatkan anggota TNB pada masa kini berdepan risiko tinggi seperti pasukan penguat kuasa lain berikutan aktiviti sindiket bitcoin yang semakin meluas di negara ini.

"Ada tonto yang sanggup menggunakan kekerasan selain ugutan dan provokasi melampau terhadap anggota TNB ketika kami menjalankan tugas.

"Bukan itu saja, anggota TNB pernah dipukul, diekori sehingga ke rumah, dihantar peluru dalam sampul surat dan merakam gambar anak kakitangan TNB di sekolah," katanya.

Katanya, pasukan Seal dengan kekuatan 440 anggota itu ditubuhkan pada 2010 untuk memantau kes kecurian elektrik supaya tidak memberi impak besar kepada kestabilan elektrik di negara sekali gus memastikan rakyat tidak terbeban tarif tinggi disebabkan kegiatan kecurian.

Beliau meminta orang ramai yang mengesyaki atau mempunyai maklumat berkenaan kecurian elektrik untuk melombong bitcoin segera menghubungi TNB di talian 15454 supaya tindakan lanjut dapat diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 12:30 PM