Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Putrajaya: Salur duit 'pelincir' sehingga RM300,000 sejak 2018 kepada kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi melombong bitcoin dengan melakukan penyambungan bekalan elektrik secara haram.

Itu dilakukan sindiket yang didalangi 18 individu berusia 30 hingga 60 tahun yang menyalurkan wang rasuah melalui dua cara iaitu wang tunai dan pindahan wang kripto.

Seorang ahli sindiket mengawal 500 premis perlombongan bitcoin dan akan berunding dengan pegawai TNB ketika operasi dijalankan di premis mereka.

Bagaimanapun kegiatan itu berjaya dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama TNB selepas menahan semua individu yang terbabit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, semua individu berkenaan terbabit dengan 7,209 kes dengan kerugian RM2.3 bilion, sejak 2018.

"Semua kes itu termasuk 2,311 di Selangor disusuli Perak (1,349), Kuala Lumpur (732), Johor (723), Negeri Sembilan (599), Kedah (481), Pulau Pinang (344) dan Pahang (288).

"SPRM menyita wang rasuah berjumlah RM2.37 juta membabitkan 998 premis dan wang tunai RM281,180, selain membekukan 126 akaun bank bernilai RM4.47 juta membabitkan 97 individu serta 29 syarikat.

AZAM menunjukkan barang mesin melombong bitcoin pada sidang akhbar Op Power di Putrajaya. Turut kelihatan, Baharin (kanan) dan Abdul Razib. FOTO Mohd Fadli Hamzah
AZAM menunjukkan barang mesin melombong bitcoin pada sidang akhbar Op Power di Putrajaya. Turut kelihatan, Baharin (kanan) dan Abdul Razib. FOTO Mohd Fadli Hamzah

"Turut disita, 1,157 mesin bitcoin bernilai RM2.31 juta (anggaran setiap mesin RM2,000), E-dompet RM82,000, mata wang kripto dolar Amerika Syarikat (USD) 25,893.46, lima kereta jenis BMW, Honda Accord, Vellfire, Ford Ranger dan Audi serta pelbagai barang kemas seperti rantai, gelang dan cincin," katanya pada sidang media Op Power di ibu pejabat SPRM di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Abdul Razib Dawood.

Azam berkata, jumlah individu yang sepatutnya ditahan adalah 23 orang namun lima daripadanya positif Covid-19.

"Modus operandi kumpulan ini adalah dengan berunding dengan pegawai TNB semasa operasi dijalankan dan setiap suspek dikesan menguasai kira-kira 500 premis berkenaan.

"Sindiket bitcoin ini menggunakan mesin terkini dan dibeli dari China yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang dengan diisytihar peralatan teknologi maklumat (IT)," katanya.

Menurutnya, aktiviti mencuri bekalan elektrik pula dilakukan dengan menggunakan alat khas atau penebat elektrik secara terus, selain secara 'tapping' (mencuri) bekalan elektrik pengguna lain bagi mengurangkan jumlah penggunaan elektrik bulanan.

"Kegiatan melombong bitcoin secara haram mengakibatkan kerugian kepada kerajaan khususnya TNB yang akhirnya ditanggung oleh rakyat. Ia apabila kerajaan terpaksa menaikkan tarif elektrik yang akan ditanggung oleh setiap pengguna di negara ini.

"Kegiatan itu juga menjejaskan bekalan atau arus elektrik kepada fasiliti kritikal seperti klinik, hospital dan pusat rawatan dialisis yang mengganggu operasi berkenaan.

"Selain itu, akan berlaku kerosakan perkakas elektrik dan kebakaran premis ekoran aktiviti perlombongan bitcoin itu, selain pemilik premis akan teraniaya kerana menanggung segala tuntutan dan tindakan yang akan dikenakan oleh TNB hasil daripada aktiviti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 3:58 PM