Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis membongkar makmal pemprosesan dan stor penyimpan dadah di rumah sewa menerusi serbuan berasingan di dua lokasi di negeri ini.

Aktiviti berkenaan terbongkar susulan penahanan lelaki berusia 38 tahun pada jam 5.30 petang, Jumaat lalu di persimpangan Jalan Cangkat Sungai Ara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, berpandukan maklumat daripada suspek, serbuan kemudian dilakukan terhadap sebuah rumah teres tiga tingkat di kawasan perumahan Taman Hijau Setia, Sungai Ara, Bayan Lepas yang dijadikan sebagai makmal pemprosesan dadah.

Katanya, polis turut merampas sebanyak 42 bungkusan dadah berisi heroin seberat 13.83 kg, ketulan mampat disyaki heroin base (376 gram), plastik berisi serbuk kafein (93.87kg) dan pelbagai peralatan pemprosesan dadah.

"Menerusi serbuan kedua pada jam 3.10 petang, Sabtu lalu di sebuah pangsapuri di Persiaran Batu Uban mendapati rumah terbabit dijadikan tempat penyimpanan dadah oleh suspek.

"Barangan yang dirampas ialah sebanyak 45 bungkusan berisi syabu seberat 46.19 kg, 91 ketulan mampat disyaki heroin base (33.76kg), serbuk kafein (24.14kg) dan botol berisi cecair kimia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Kok Chin berkata, sebanyak enam pucuk pistol berserta 100 butir peluru turut dirampas dan semakan akan dibuat bagi mengenalpasti sama ada suspek pernah menggunakannya dalam kes jenayah sebelum ini.

Katanya, aktiviti sindiket berkenaan aktif sejak Januari lalu bagi pasaran sekitar Pulau Pinang dan Lembah Klang.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau manakala jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 2.6 juta penagih dadah jika berjaya dipasarkan.

"Suspek direman selama tujuh hari sehingga 1 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 ," katanya lagi.

KOK Chin (tengah) melihat rampasan dadah disyaki heroin base pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang hari ini. FOTO Mikail Ong
KOK Chin (tengah) melihat rampasan dadah disyaki heroin base pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang hari ini. FOTO Mikail Ong

Menurutnya, tindakan juga diambil mengikut akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan menyita pelbagai aset termasuk empat kereta mewah dan dua motosikal dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM5.03 juta.

"Masing-masing satu daripada kereta mewah dan motosikal itu didaftarkan ke atas nama suspek dan adik saudara manakala dua lagi kereta mewah dan sebuah motosikal didaftarkan atas nama isterinya.

"Suspek yang juga penganggur bertindak sebagai 'bos' dalam sindiket ini yang mana dia menjadi 'tukang masak' dan pembungkus serta menghantar sendiri kepada pelanggan," katanya.

Kok Chin berkata, polis percaya suspek adalah ketua sindiket itu dengan menjalankan aktiviti bersendirian namun tidak menolak kemungkinan terdapat ahli sindiket lain yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.

"Suspek dikatakan belajar memproses dadah daripada YouTube dan menghubungi kenalan bagi bertanyakan 'resepi' serta cara memasak bahan itu.

"Dia dipercayai hidup mewah dengan hasil jualan dadah itu dan kita juga akan siasat mengenai dua rumah mewah yang dibeli di Pulau Pinang dan Rawang bernilai RM550,000 setiap satu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 11:23 AM