Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis merampas dadah dianggarkan bernilai RM14.5 juta dan menahan lapan lelaki tempatan membabitkan dua kumpulan sindiket pengedaran dadah berbeza di sekitar Lembah Klang, pada 17 dan 18 Mei lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam operasi itu juga, polis turut menyita wang tunai, barang kemas, lima kenderaan serta empat jam tangan mewah serta wang di dalam akaun dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1.39 juta.

Menurutnya, dadah dirampas membabitkan heroin dianggarkan 934.41 kilogram, syabu 170 kg, 1.45 gram ganja serta 524 biji pil ecstasy.

"Dalam kes pertama pada 17 Mei, 1.20 tengah hari, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menangkap seorang lelaki di dalam sebuah kereta di sebuah kondominium di Bandar Kinrara.

"Polis turut merampas 10 bungkusan plastik disyaki mengandungi syabu dengan anggaran berat 10.3 kilogram serta 14 bungkusan mengandungi bahan disyaki heroin dengan anggaran berat 6.3 kg," katanya dalam sidang media, hari ini.

Arjunaidi berkata, pada 2.15 petang hari sama dengan dipandu arah oleh suspek pertama, polis ke tingkat 14 di kondominium sama dan merampas beberapa beg plastik serta sebuah kotak.

"Di dalamnya berisi 27 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki syabu dengan anggaran berat 29.2 kg dan 129 bungkusan plastik disyaki heroin dengan anggaran berat 84.51 kg.

"Pada hari sama, 1.45 tengah hari polis menyerbu rumah teres di Bandar Kinrara dan menahan seorang lelaki serta merampas enam paket plastik lut sinar mengandungi 524 pil ecstasy, dua paket plastik mengandungi tumbuhan kering disyaki ganja anggaran berat 1.45 gram serta satu paket plastik mengandungi syabu dengan anggaran berat 2.32 gram.

ANTARA dadah yang dirampas. FOTO ihsan Polis
ANTARA dadah yang dirampas. FOTO ihsan Polis

"Polis juga membuat pemeriksaan di tingkat atas rumah itu, seterusnya menjumpai wang tunai anggaran RM1.08 juta yang dipercayai hasil aktiviti pengedaran dadah," katanya.

Susulan kedua-dua serbuan itu katanya, polis menangkap empat lelaki di empat lokasi berlainan di Brickfields dan Subang Jaya.

"Tangkapan bagi sindiket ini membabitkan enam lelaki berumur lingkungan 24 hingga 45 tahun dan semua suspek mempunyai rekod dadah manakala hasil ujian saringan awal mendapati salah seorangnya positif ganja," katanya.

Sementara itu Arjunaidi berkata, pada 3.30 petang keesokkan hari, JSJN IPK Selangor menumpaskan kumpulan sindiket kedua dengan penangkapan seorang lelaki di dalam kereta di tepi jalan di kawasan Seri Kembangan.

"Suspek kemudian memandu arah ke sebuah rumah berhampiran dan polis merampas dua beg kanvas serta dua kotak mengandungi 148 ketulan disyaki heroin base dengan anggaran berat 56.24 kg dan empat bag kanvas mengandungi 78 bungkusan disyaki Syabu anggaran berat 79.54 kg.

"Polis turut menjumpai beberapa peralatan digunakan untuk aktiviti pembungkusan dadah.

"Pada hari sama, 4.40 petang, polis ke sebuah kondominium di Seri Kembangan dan menangkap seorang lagi lelaki untuk siasatan lanjut.

"Polis kemudian ke tempat letak kereta kondominium itu dan membuat pemeriksaan di dalam sebuah kereta jenis Volkswagen dan menemui tiga beg kanvas di dalam but kereta mengandungi 50 bungkusan berisi disyaki Syabu dengan anggaran berat 51 kg," katanya.

Arjunaidi berkata, suspek bagi kedua-dua sindiket direman antara dua hingga tujuh hari bermula 18 Mei lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB).

"Punca bekalan dadah diperoleh oleh kumpulan sindiket ini masih dalam siasatan dan bagaimana boleh dibawa masuk ke negara ini.

"Siasatan juga mendapati kumpulan sindiket pertama beroperasi lebih kurang tiga bulan dan sindiket kedua sejak awal tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 3:59 PM