Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Penahanan dua lelaki tempatan di dua lokasi berasingan di sekitar Pulau Pinang di sini, antara Selasa dan Rabu lalu, berjaya membongkar sebuah makmal pemprosesan dadah bernilai RM5.78 juta.

Penahanan dan serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu sekali gus membongkar sindiket penyeludupan heroin base dari Thailand ke Malaysia.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din berkata, suspek pertama berusia 46 tahun yang memandu kenderaan ditahan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, ketika berlaku kesesakan kira-kira jam 4 petang.

Beliau berkata, suspek kedua berusia 42 tahun pula ditahan di parkir sebuah pasar raya di Bukit Mertajam.

"Susulan penahanan itu membawa kepada serbuan di sebuah unit kondominium di Tanjung Tokong, di sini, pada jam 8 malam yang dipercayai dijadikan makmal pemprosesan dadah jenis heroin.

"Turut dirampas ialah heroin base seberat 65.38 kilogram (kg), heroin (13.62kg) dan serbuk kafein (8.48kg).

"Keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 4.47 juta penagih jika berjaya dipasarkan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

MOHD Kamarudin (tengah) bersama Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin (tiga dari kiri) menunjukkan rampasan dadah heroin base dan heroin bernilai RM5.78 juta pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini. FOTO Mikail Ong
MOHD Kamarudin (tengah) bersama Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin (tiga dari kiri) menunjukkan rampasan dadah heroin base dan heroin bernilai RM5.78 juta pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini. FOTO Mikail Ong

Mohd Kamaruddin berkata, ujian saringan air kencing terhadap dua suspek itu didapati negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau.

Katanya, sindiket dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kedua-dua suspek yang juga penganggur direman selama tujuh hari sehingga 22 Ogos bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan harta) 1988 yang mana polis turut merampas Toyota Estima disyaki diperoleh hasil daripada jualan dadah.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan bernilai RM5.85 juta.

"Siasatan masih diteruskan terhadap unit rumah kondominium itu, sama ada ia disewa atau milik suspek selain mengenalpasti ahli sindiket yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 12:21 PM