Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Bukan sahaja menumpang di rumah kakak, seorang penganggur yang memilik 12 rekod lampau berkaitan dadah turut menjadikan rumah di Sebarang Jaya itu sebagai makmal memproses dadah jenis heroin.

Kegiatan lelaki berusia 40 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan polis di depan sebuah premis tidak jauh dari rumah berkenaan kira-kira jam 2 petang Khamis lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sejurus ditahan, suspek membawa polis ke rumah teres yang turut didiami kakak dan abang ipar berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dan pemeriksaan menemukan beberapa peralatan memproses dadah.

"Kita juga memeriksa sebuah Perodua Alza yang diparkir di tepi jalan kira-kira 600 meter dari rumah itu sebelum menemukan 7.4 kilogram dadah disyaki heroin.

"Dadah dianggar bernilai RM61,400 itu dibungkus dalam plastik lutsinar dan diletak di bahagian belakang kenderaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kok Chin berkata suspek yang aktif dalam kegiatan berkenaan sejak awal tahun 2023 itu dipercayai memperoleh dadah berkenaan dari negara jiran bagi pasaran tempatan termasuk negeri berhampiran.

Katanya, keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 37,000 penagih sekiranya ia lolos di pasaran.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan mempunyai sebanyak 12 rekod lampau berkait dadah serta baru dibebaskan dari tahanan setahun lalu," katanya.

Menurut Kok Chin, suspek direman tujuh hari sehingga 1 Jun depan bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Khaw Kok Chin (dua dari kiri) menunjukkan plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin anggaran berat 7,400 gram bernilai RM61,420 pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Khaw Kok Chin (dua dari kiri) menunjukkan plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin anggaran berat 7,400 gram bernilai RM61,420 pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini. FOTO MIKAIL ONG

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 3:19 PM