Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kajang: Polis membongkar kegiatan sindiket jadikan sebuah rumah teres sebagai makmal dan merampas 312.7 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM1.48 juta dalam tiga serbuan berasingan sekitar Lembah Klang 26 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalang sindiket yang juga berperanan sebagai 'tukang masak' dadah turut berjaya ditahan dalam serbuan itu.

Menurutnya, dalang kumpulan yang juga seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun itu ditahan bersama 12 ahli sindiket pengedaran dadah yang disyaki aktif mengedar dan menjual bahan terlarang berkenaan sejak setahun lalu.

"Dalam serbuan pertama membabitkan sebuah kereta Honda City di Jalan Utama Lebuhraya Cheras-Kajang dan menemui 1,200 bungkusan mengandungi heroin seberat 2.44 kg dan menahan lelaki tempatan berusia 25 tahun.

"Serbuan kedua di sebuah rumah (teres) di Semenyih, di sini menjumpai 16 bungkusan plastik lut sinar berisi bahan kimia dan dadah seberat 4.58 kg, dan lapan botol kaca kimia mengandungi dadah seberat 13.64 kg," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini hari ini.

Kok Chin berkata, susulan itu JSJN menyerbu sebuah kondominium mewah disyaki dijadikan pusat simpanan dadah yang terletak di KL Sentral, di Kuala Lumpur dan menemui sejumlah dadah jenis syabu, heroin dan ganja.

"Rumah (teres) berkenaan dipercayai dijadikan tempat memasak (dadah), disewa dengan harga RM2,000 sebulan daripada seorang lelaki tempatan.

"Modus operandi mereka adalah menjual kepada tokan dan port (sarang dadah) dan penghantaran kepada orang-orang yang mereka kenal sahaja selain menggunakan kurier," katanya.

KOK Chin bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang di IPD Kajang. FOTO Hazreen Mohamad
KOK Chin bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang di IPD Kajang. FOTO Hazreen Mohamad

Beliau berkata, pasukan serbuan turut menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalang utama berkenaan untuk 'memasak' dadah menggunakan teknik yang dipelajarinya secara dalam talian.

Menurutnya, kesemua suspek terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita berusia lingkungan 21 hingga 51 tahun mempunyai peranan masing-masing antaranya, penjaga kewangan, tukang sewa premis, runner (penghantar), penjaga stor dan lain-lain.

"Siasatan mendapati dalang utama mempelajari cara memasak dadah secara dalam talian, manakala isterinya bersama empat wanita lain dipercayai berperanan menguruskan kewangan dan pemasaran dadah sindiket ini.

"Suspek yang lain turut mempunyai peranan masing-masing antaranya runner , pengedar, koordinator, penjaga stor dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, semakan mendapat lima suspek terbabit mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan narkotik dan jenayah manakala lapan lagi tiada rekod.

Katanya, pasukan serbuan merampas sembilan kereta termasuk Honda City yang disewa, lori (satu), motosikal (tiga), pelbagai barang kemas (26), dan wang tunai RM 213,000.

"Kesemua suspek direman bermula 27 April hingga 3 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"JSJN akan meneruskan siasatan untuk mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas untuk dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 2:12 PM