Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Prasarana Berhad (Prasarana) akan mengambil tindakan undang-undang dan menuntut pampasan RM38 juta terhadap pemilik dan pemaju hotel yang menyebabkan kerosakan struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, jumlah itu termasuk kos pembaikan dan juga perkhidmatan bas perantara selepas kira-kira setahun tidak beroperasi.

Laluan Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya ditutup sejak 27 Januari tahun lalu menyebabkan gangguan perjalanan kepada 184,000 pengguna pada hari bekerja.

"Insiden ini menyebabkan gangguan amat teruk dan Prasarana melantik jururunding bebas untuk memperbaiki struktur berkenaan.

"Kita kesal dengan kejadian ini dan berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melibat urus Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Prasarana sebelum meluluskan sesuatu projek pembinaan yang berdekatan dengan stesen atau landasan pengangkutan awam.

"Dalam hal ini, kita tidak salahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang meluluskan pembinaan hotel berkenaan tetapi kami dimaklumkan pemaju memulakan kerja pembinaan sebelum Prasarana memberi kelulusan," katanya di Stesen Bandaraya, hari ini.

Anthony ditemui ketika meninjau hari pertama pembukaan stesen LRT Bandaraya di sini hari ini.

Pada 27 Januari lalu, perkhidmatan LRT laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen Bandaraya selain kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan dipercayai disebabkan kerja-kerja pembinaan di kawasan bersebelahan.

Susulan itu, Rapid Rail terpaksa menutup laluan antara stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya dan penumpang LRT terpaksa menggunakan laluan alternatif termasuk bas bagi meneruskan destinasi masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 12:35 PM
ANTHONY Loke (kiri) melihat penyokong sementara di landasan LRT Bandaraya selepas sidang media pembukaan semula laluan antara stesen Masjid Jamek dan Bandaraya di Stesen LRT Bandaraya. Turut hadir Pengerusi Prasarana Tan Sri Jamaludin Ibrahim (tiga, kanan) dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah (empat, kanan). FOTO Bernama
ANTHONY Loke (kiri) melihat penyokong sementara di landasan LRT Bandaraya selepas sidang media pembukaan semula laluan antara stesen Masjid Jamek dan Bandaraya di Stesen LRT Bandaraya. Turut hadir Pengerusi Prasarana Tan Sri Jamaludin Ibrahim (tiga, kanan) dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah (empat, kanan). FOTO Bernama