LOKE (tiga kanan) diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysua Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah (dua kanan) ketika sidang media berkenaan perkembangan semasa hasil siasatan masalah struktur LRT Laluan Ampang di Lobi Parlimen. FOTO Hairul Anuar Rahim
LOKE (tiga kanan) diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysua Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah (dua kanan) ketika sidang media berkenaan perkembangan semasa hasil siasatan masalah struktur LRT Laluan Ampang di Lobi Parlimen. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerja membaik pulih kerosakan struktur jejambat dan tiang yang retak berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya akan dimulakan bulan depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) kini dalam proses melantik kontraktor bagi menjalankan kerja membaik pulih yang mengambil masa tujuh bulan.

"Tempoh ini merangkumi dua bulan untuk kerja-kerja baik pulih sementara bagi mengukuhkan struktur dan lima bulan untuk kerja baik pulih secara menyeluruh.

"Kerja-kerja baik pulih itu akan mengambil masa kerana siasatan menunjukkan kerosakan kepada struktur yang terjejas menimbulkan risiko keselamatan yang amat

serius," katanya di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap pemaju projek yang dikenal pasti menjadi punca kerosakan struktur di stesen LRT Bandaraya hingga mengakibatkan penggantungan perkhidmatan antara stesen LRT Masjid Jamek dan stesen LRT Bandaraya sejak 27 Januari lalu.

"Siasatan insiden itu selesai dijalankan oleh perunding kejuruteraan Arup Jururunding Sdn Bhd dengan pemantauan sebuah jawatankuasa khas membabitkan Prasarana, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Hasil siasatan menunjukkan, kerosakan kepada tiga struktur viaduct dan pier disebabkan 'ground movement' yang dipercayai daripada kerja pembinaan hotel 44 tingkat di tapak bersebelahan.

"Seperti yang dinyatakan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 27

Januari lalu, kerja-kerja itu mula dijalankan tanpa sebarang perundingan

dengan APAD di bawah Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api)

1998 [P.U. (A) 367]," katanya.

Bagaimanapun katanya, keutamaan diberikan kepada proses membaik pulih struktur terjejas bagi memastikan tahap keselamatan sebelum tindakan perundangan itu dilaksanakan.

"Prasarana merizabkan hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.

"Kita akan mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut pampasan, namun sudah tentu prosesnya panjang sedangkan kerja baik pulih perlu dilakukan segera," katanya.

Media sebelum ini, melaporkan operasi perkhidmatan LRT laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat jajaran landasan bengkok berhampiran stesen Bandaraya serta kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan gangguan antara dua stesen iaitu Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya sejak 27 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 2:01 PM