Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) perlu memperluaskan skop jawatankuasa auditnya bagi memastikan ekosistem kemudahan pengangkutan awam di Lembah Klang sentiasa berada di tahap terbaik dan lancar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana pengangkutan awam bukan saja tertakluk kepada Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) yang menyediakan transit aliran ringan (LRT) dan transit laju massa (MRT).

Menurutnya, APAD boleh mengembangkan jawatankuasa audit dengan syarikat operator yang lain seperti Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Saya sudah meminta APAD memperluaskan auditnya di Lembah Klang memandangkan pengangkutan awam bukan saja di bawah Prasarana. Ia perlu merangkumi pelbagai agensi dan syarikat operator lain.

"Skop audit akan diperluaskan membabitkan pelbagai pihak supaya kita dapat memastikan apa saja masalah yang berkaitan ekosistem pengangkutan seperti landasan, eskalator, lif, tandas dan laluan pejalan kaki dapat diaudit dengan lebih baik dan diambil tindakan segera," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah.

Sementara itu, Anthony berkata, pihaknya juga mengambil serius rungutan awam mengenai kemudahan di stesen LRT dan MRT yang kurang memuaskan dan tidak berfungsi dengan baik.

"Kita mendapati sebanyak 16 lif di stesen monorel tidak berfungsi dan ini sukarkan orang kurang upaya (OKU), manakala 46 eskalator daripada 706 unit di semua stesen juga tidak berfungsi.

"Selain itu, 17 kawasan mengalami kebocoran yang perlu dibaiki selain masalah pencahayaan, di mana 664 mentol rosak. Semua ini akan diambil tindakan dalam kadar segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 2:04 PM
ANTHONY Loke pada sidang media selepas lawatan kerja ke Prasarana Malaysia Berhad, Bangsar. Turut hadir, Mohd Azharuddin. FOTO Asyraf Hamzah
ANTHONY Loke pada sidang media selepas lawatan kerja ke Prasarana Malaysia Berhad, Bangsar. Turut hadir, Mohd Azharuddin. FOTO Asyraf Hamzah