ISMAIL Sabri bersama Idris beramah mesra dengan sebahagian jemaah haji yang bakal berlepas ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji. FOTO Aizuddin Saad
ISMAIL Sabri bersama Idris beramah mesra dengan sebahagian jemaah haji yang bakal berlepas ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji. FOTO Aizuddin Saad
Suraya Roslan


Sepang: Selepas dua tahun jemaah haji tidak dapat menunaikan rukun Islam kelima akibat Covid-19, hari ini kumpulan pertama bakal haji Malaysia akan berlepas ke Tanah Suci.

Kumpulan itu yang terdiri daripada 298 jemaah haji itu akan berlepas ke Tanah Suci menerusi penerbangan Saudia Airlines SV 5635 pada jam 1.35 tengah hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Penerbangan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah pada jam 4.55 petang (waktu Arab Saudi).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan pertama itu dalam pertemuan di Pusat Konvensyen Movenpick di sini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Sementara itu, Amrin dalam kenyataan berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang bersetuju meneruskan semula projek 'Makkah Route' untuk memudahkan proses pra-pelepasan pemeriksaan Jabatan Imigresen dan kastam di KLIA.

"Jemaah Malaysia tidak perlu lagi melalui proses imigresen semasa tiba di Arab Saudi dan boleh menaiki bas terus ke hotel penginapan masing-masing dan ini menjimatkan masa semua jemaah," katanya.

Sebelum ini, Tabung Haji mengumumkan seramai 14,306 jemaah haji Malaysia akan berlepas ke Tanah Suci menerusi 48 penerbangan Malaysia Airlines dan Saudi Airlines.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 11:05 AM