Irwan Shafrizan Ismail

Sepang: Selepas dua tahun ibadah haji tertangguh akibat pandemik Covid-19, seramai 298 jemaah menjadi kumpulan haji pertama Malaysia bagi musim 1443H/2022 dijadual berlepas ke Tanah Suci hari ini.

Penerbangan pertama hari ini dijadual berlepas pada 1.35 tengah hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini menerusi penerbangan Saudi Airlines.

Penerbangan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah pada jam 4.55 petang (waktu Arab Saudi).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempat meluangkan masa menyantuni jemaah terpilih mengerjakan rukun Islam kelima itu dalam satu majlis mengucapkan selamat jalan di Pusat Konvensyen Movenpick di sini pagi tadi.

Beliau sempat beramah mesra, bertanya khabar selain memberi kata-kata semangat serta nasihat kepada bakal jemaah haji.

Hadir sama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Ahmad dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Amrin Awaluddin, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan.

ISMAIL Sabri bersama Idris Ahmad beramah mesra dengan sebahagian jemaah haji yang bakal berlepas ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji pada Majlis Perlepasan Kumpulan Pertama Jemaah Haji di Hotel Movenpick, Sepang. FOTO Aizuddin Saad
ISMAIL Sabri bersama Idris Ahmad beramah mesra dengan sebahagian jemaah haji yang bakal berlepas ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji pada Majlis Perlepasan Kumpulan Pertama Jemaah Haji di Hotel Movenpick, Sepang. FOTO Aizuddin Saad

Jemaah akan dibawa menaiki lapan bas disediakan Tabung Haji untuk ke KLIA.

Sementara itu Amrin dalam kenyataan diberikan TH memaklumkan, berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang bersetuju meneruskan semula projek 'Makkah Route' untuk memudahkan proses pra pelepasan pemeriksaan Jabatan Imigresen dan kastam di KLIA.

"Jemaah Malaysia tidak perlu lagi melalui proses imigresen semasa tiba di Arab Saudi dan boleh menaiki bas terus ke hotel penginapan masing-masing dan ini menjimatkan masa semua jemaah," katanya.

Pada tahun ini, sebanyak 48 penerbangan Malaysia Airlines dan Saudi Airlines yang akan membawa jemaah haji negara seramai 14,306 orang ke Tanah Suci.

Bagi kuota jemaah, TH memberi keutamaan kepada bakal haji yang tersenarai menunaikan ibadat itu pada tahun 2020, diikuti 2021 serta seterusnya, berdasarkan sistem pendaftaran berasaskan prinsip sebelum ini dalam memenuhi kuota jemaah yang diterima tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 10:59 AM