KERETA dinaiki dua wanita remuk selepas dilanggar sebuah lori di Jalan Sidam menyebabkan pemandu kereta itu maut. FOTO Ihsan PDRM
KERETA dinaiki dua wanita remuk selepas dilanggar sebuah lori di Jalan Sidam menyebabkan pemandu kereta itu maut. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Ahli farmasi sebuah hospital swasta maut, manakala rakannya parah selepas kereta dinaiki mereka dilanggar sebuah lori di Jalan Sidam di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan itu, Siti Aisyah Idris, 23, yang memandu kereta terbabit maut di tempat kejadian, manakala rakan wanitanya yang berusia 23 tahun itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pejabat pertanyaan Trafik Kuala Muda menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 9.30 malam, membabitkan sebuah lori dan kereta.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta dinaiki dua wanita itu dari Sungai Petani ke Kulim, manakala lori terbabit dari Kulim menghala ke Sungai Petani.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, lori terbabit dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal di hadapannya lalu terbabas ke laluan bertentangan.

"Akibatnya, lori terbabit bertembung dengan kereta yang dinaiki dua wanita berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, perlanggaran itu menyebabkan penumpang kereta terbabit mengalami kecederaan dan dihantar ke HSAH, manakala pemandu kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa berasal dari Sungai Petani.

"Pemandu lori berusia 31 tahun itu ditahan selepas ujian saringan air kencing terhadapnya didapati positif methamphetamine, amphetamine dan morfin dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan 1987 dan wanita yang cedera itu kini dilaporkan stabil dan dirawat di HSAH," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 7:56 AM