Omar Ahmad

Johor Bahru: Hubungan MCA dan Umno masih baik walaupun calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, semalam.E

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya percaya persoalan mengenai kemenangan berkenaan biarpun tanpa sokongan MCA tidak timbul.

"Saya percaya bahawa negara ini perlu ada kerajaan, ia perlu diberikan segala kerjasama untuk dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

"Soal sokong atau tidak sokong itu MCA, kena tanya mereka jangan tanya saya. Hubungan Umno dengan MCA masih baik. Perikatan Nasional (PN) kalah bermaruah okaylah kalau mereka nak cakap seperti itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Tahun 2024 kepada 475 veteran dan wakil veteran, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, pihaknya yakin keputusan diperoleh kelmarin adalah bukti politik tanah air berada pada landasan positif.

Katanya, beliau juga yakin keputusan sama akan dapat dilihat di kawasan lain sekiranya terdapat pilihan raya pada masa akan datang.

KHALED menyampaikan ucapan pada Majlis Penganugerahan PJM di Dewan Serbaguna Pulai Utama, Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KHALED menyampaikan ucapan pada Majlis Penganugerahan PJM di Dewan Serbaguna Pulai Utama, Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Saya percaya pengundi di KKB matang dan dapat berfikir. Mereka tidak begitu terpengaruh dengan sentimen dan sebagainya, sebaliknya fikir tentang hala tuju negara khususnya dalam tempoh tiga atau empat tahun ini.

"Mereka sedar negara perlukan kerajaan yang kuat dan mereka mungkin sudah bosan dan penat kerana asyik berpolitik sahaja, negara perlu 'move on'," katanya.

Semalam, Sock Tao menang dengan majoriti undi lebih rendah iaitu sebanyak 3,869 berbanding 4,119 undi yang dimenangi penyandangnya mendiang Lee Kee Hiong.

Menerusi saingan empat penjuru itu, Sock Tao memperolehi 14,000 undi sementara tiga pencabarnya, calon PN, Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi.

Manakala calon Bebas, Nyau Ke Xin dan calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainudin masing-masing meraih 188 dan 152 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 1:46 PM