Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Naib Ketua Pemuda Umno, Mohd Hairi Mad Shah tewas pada pemilihan semula jawatan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, yang diadakan hari ini.

Mohd Hairi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Larkin, tewas kepada pencabarnya, Datuk Yahya Jaafar, yang juga bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru.

Hairi meraih 260 undi manakala Yahya yang pula mendapat 296 undi daripada 556 perwakilan yang membuang undi.

Yahya menggantikan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, selepas veteran parti itu mengumumkan untuk melepaskan jawatan yang disandang selama lebih empat dekad, pada pemilihan parti 2023.

Manakala Hairi menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor ketika ini dan bekas Ketua Pemuda Umno Johor.

Proses pembuangan undi bermula jam 10 pagi tadi itu berjalan lancar dengan pengiraan undi bermula jam 11 pagi tadi sebelum keputusan rasmi diumumkan kira-kira jam 3.45 petang.

MOHD Hairi meninjau Program Bazar Rakyat Agro Johor di Pasar Tani Datin Halimah, Larkin, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
MOHD Hairi meninjau Program Bazar Rakyat Agro Johor di Pasar Tani Datin Halimah, Larkin, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Sementara itu Hairi berkata, dia akur dan menerima kekalahannya pada pemilihan semula jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, yang diadakan hari ini.

Katanya, selepas ini dia akan memberi tumpuan kepada tugas di MKT dan Naib Ketua Pemuda Umno, selain terus membawa suara pengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Larkin.

Pada 1 April lalu, Umno Johor dilaporkan akan mengambil alih pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru yang ditangguh dan digantung sejak 18 Mac lalu.

Pengerusi Perhubungannya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dilaporkan berkata Setiausaha Umno Johor yang baharu dilantik, Datuk Abdul Halim Suleiman, diberi tanggungjawab mengendalikan pemilihan bahagian terbabit.

Pada 18 Mac lalu, proses pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru ditangguh dan digantung selepas berlaku dakwaan bahawa kertas undi melebihi daripada jumlah perwakilan yang hadir.

Keputusan itu dibuat Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Johor Bahru, Azmi Samin selepas dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Bahagian Johor Bahru, Sonawan Mad Som.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 4:36 PM