Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menafikan akan membuat kemunculan semula sekali gus bertanding pada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, yang akan diadakan tidak lama lagi.

Mohamed Khaled yang juga Ketua Bahagian Umno Pasir Gudang berkata, beliau tidak menawarkan diri untuk bertanding pada PRN kali ini.

"Tidak, saya tidak akan bertanding dan tidak menawarkan diri untuk bertanding pada PRN Johor.

"Saya merasakan Datuk Hasni Mohammad (Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan Umno Johor) melakukan kerja yang baik menerajui negeri.

"Kita perlu beri peluang dan pendedahan kepada pemimpin muda untuk bertanding.

"Ini adalah keputusan saya walaupun ada pihak mendakwa saya akan bertanding, itu adalah tidak benar," katanya ketika dihubungi, hari ini

Pada 14 Januari lalu, Mohamed Khaled berkongsi gambar beliau menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Pasir Pelangi di sini, sekali gus menimbulkan spekulasi beliau bakal membuat kemunculan semula dan bertanding pada PRN Johor nanti.

Sebaliknya, beliau menjelaskan pertemuan bersama Sultan Johor itu sekadar bertanya khabar di samping membincangkan isu semasa membabitkan Johor termasuk isu banjir.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mohamed Khaled tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas apabila hanya mendapat 20,047 undi berbanding Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh (Bersatu) yang memperoleh 28,793 undi untuk menang dengan majoriti 8,746 undi.

Ditanya desas-desus beliau akan dicalonkan di DUN di Kota Tinggi yang juga antara kubu kuat Umno Johor, Mohamed Khaled, menolak dakwaan itu.

"Tidak...tidak. Isu ini tidak timbul. Itu bukan keutamaan saya mahu pun Umno.

"Kena faham kita nak pastikan Johor kembali stabil dan kepentingan rakyat perlu diutamakan berbanding perkara lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 11:25 AM