Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara YAB Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di The Pacific Sutera Harbour, di sini, pagi ini. FOTO ADAM ARININ
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara YAB Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di The Pacific Sutera Harbour, di sini, pagi ini. FOTO ADAM ARININ
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM1.41 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek atau program pembangunan luar bandar di Sabah pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia membabitkan peningkatan sebanyak RM290.1 juta atau 20.5 peratus berbanding tahun lalu.

Katanya, jumlah itu adalah yang tertinggi diagihkan KKDW berbanding peruntukan yang diberikan kepada negeri lain pada tahun ini.

"Peruntukan itu merangkumi 295 program atau projek yang terdiri daripada 70 program atau projek baharu dan 225 program atau projek sambungan dengan kos keseluruhan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) berjumlah RM17.8 bilion," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan EXCO-EXCO Luar Bandar (MEXCLUB), di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, daripada RM1.41 bilion itu, sebanyak RM1.06 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan 224 projek infrastruktur seperti Jalan Luar Bandar (JALB), Jambatan Luar Bandar (JMLB) dan Bekalan Air Luar Bandar (BALB).

Katanya, peruntukan itu juga membiayai projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Projek Pemajuan Kawasan (PPK) bagi menyokong usaha kerajaan negeri untuk pembangunan di Sabah.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengakui masih banyak projek luar bandar di Sabah yang belum dapat dilaksanakan berikutan masalah penyelarasan di antara kerajaan Pusat dan negeri.

Katanya, ia merangkumi projek bernilai RM50 juta ke bawah yang diberikan kepada kerajaan negeri dan projek RM50 juta ke atas yang dilaksanakan KKDW melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana.

"Banyak (projek yang belum dilaksanakan) sebab keputusan Perdana Menteri sebelum ini bahawa projek RM50 juta ke bawah dilaksanakan negeri dan RM50 juta ke atas dilaksanakan oleh KKDW dan agensi pelaksananya ialah JKR.

"Jadi, penyelarasan mesti dilakukan supaya pemegang taruh akan rasa bahawa terdapat penyelarasan di antara kerajaan negeri dan KKDW," katanya.

Katanya, aspek penyelarasan penting untuk memastikan kelancaran projek dan ia adalah antara tujuan mesyuarat yang diadakan bersama EXCO luar bandar pada hari ini.

"Itu tujuan kita panggil mesyuarat ini, iaitu untuk menyelaraskan di antara Exco luar bandar supaya dapat bantu kita melaksanakannya," katanya.

Beliau memberi contoh, projek bekalan air luar bandar yang dilaksanakan KKDW tidak dapat dilaksanakan jika kerajaan negeri tidak menyediakan bekalan air atau menyelesaikan soal pengambilan tanah untuk projek terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 2:17 PM