Nor Fazlina Abdul Rahim dan Paya Linda Yahya


Gua Musang: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) berpotensi menjadi pengeluar makanan domestik menerusi pembangunan program 'KESEDAR Food Valley' sebagai usaha menangani isu keterjaminan makanan negara serta meningkatkan pengeluaran pertanian dan makanan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha KESEDAR memanfaatkan lebih 900 hektar tanah bagi tanaman hasil baharu di seluruh Wilayah Gua Musang dan wajar dijadikan penanda aras yang baru dan lebih baik membabitkan agensi kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, tiga projek utama diperkenalkan oleh KESEDAR menerusi program ini iaitu menerusi Pertanian Hasil Baru, Penternakan Lembu Pedaging dan Agrotek Desa.

"Kajian pembangunan pertanian sedang diusahakan dan dijangka siap pada pertengahan tahun ini. Namun pada masa sama, potensi kolaborasi strategik bersama pemain industri turut diusahakan oleh pihak KESEDAR.

"Bagi memulakan usaha ini, KESEDAR membangunkan kawasan seluas 22 hektar di Agrotek, Manik Urai, Kuala Krai dengan tanaman-tanaman seperti jagung, nenas MD2, kelapa, labu, cili kulai sayur-sayuran fertigasi serta tanaman kekal seperti durian dan dokong," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang mediaselepas melawat KESEDAR hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang.

Beliau berkata, KESEDAR turut membangunkan tanaman kopi Robusta di kawasan seluas 60 hektar melalui kerjasama Nestle Malaysia dibawah Program "NESCAFÉ Grown Respectfully."

"Tahun lalu, KESEDAR membelanjakan RM900,000 kepada anak syarikatnya iaitu KESEDAR Dagang Sdn Bhd (KDSB) bagi memulakan usaha-usaha penternakan lembu pedaging bermula tahun 2020.

"Kini, KDSB sedang mengusahakan ternakan lembu pedaging secara fidlot dan integrasi di kawasan seluas 150 hektar di KESEDAR Sungai Asap dan Chalil dengan kapasiti pengeluaran daging adalah 170 tan metrik daging segar setahun.

"la adalah usaha yang baik bagi memastikan bekalan makanan di negara ini mencukupi selain harga pasaran berada pada paras berpatutan seta membantu negara mengukuhkan aspek keterjaminan makanan yang menjadi isu masa kini," katanya.

Tambahnya lagi, peruntukan sebanyak RM11 bilion kepada KKDW dalam Belanjawan 2023 mampu memberi manfaat kepada lebih 8.1 juta penduduk desa di negara ini sekali gus menunjukkan komitmen tinggi dan berterusan kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan luar bandar.

"Saya mengharapkan kerjasama sektor swasta dengan agensi serta jabatan di kementerian supaya penyelarasan pengeluaran makanan berskala besar dapat dilakukan bagi menampung keterjaminan makanan.

"Fokus ini adalah seiring dengan hasrat kerajaan dalam memastikan kebolehdapatan dan ketersediaan makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat seta memenuhi keperluan harian rakyat Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 5:13 PM