Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berbual bersama Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman ketika menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi Kumpulan Media Prima Berhad di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berbual bersama Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman ketika menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi Kumpulan Media Prima Berhad di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tidak akan berkompromi dalam melaksanakan program untuk rakyat luar bandar walaupun peruntukan kewangan dijangka mengalami penyusutan pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kementeriannya akan mengamalkan pendekatan menggunakan peruntukan sedia ada, tetapi akan memohon penyelarasan semula untuk memperolehi peruntukan tambahan.

Menurutnya, perkara paling penting bukan hanya program yang dilaksanakan, sebaliknya keberkesanannya kerana menjangkakan KKDW akan mengalami kekurangan bajet.

"Walaupun saya dimaklumkan terdapat pengurangan kira-kira RM1.16 bilion, tetapi pendekatan kita adalah menggunakan peruntukan sedia ada di samping memohon penyelarasan semula untuk memperolehi peruntukan tambahan.

"Ini difahami oleh pegawai-pegawai kanan kementerian, jabatan dan agensi kita," katanya pada sidang media selepas program Santai Pagi Timbalan Perdana Menteri dengan pengurusan tertinggi Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarah Urusan Kumpulan, Rafiq Razali.

Turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Editor Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Timbalan Pengarang Kumpulan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin serta Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan dan Pejabat Pengerusi Kumpulan, Azlan Abdul Aziz.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin pembentangan semula Bajet 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan pada 24 Februari ini tidak membabitkan penyusutan untuk program infrastruktur di luar bandar.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, program pembangunan luar bandar termasuk membabitkan industri dan usahawan serta program sosial lain tidak seharusnya dikompromikan kerana ia bukan hanya untuk kepentingan masyarakat semata-mata.

"Program pembangunan sedemikian sebaliknya bertujuan memanfaatkan penggunaan sumber tempatan bagi mengelakkan penghijrahan ke kawasan bandar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 4:23 PM