AHMAD Zahid (kiri) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Exco Luar Bandar.FOTO BERNAMA
AHMAD Zahid (kiri) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Exco Luar Bandar.FOTO BERNAMA
Mohd Roji Kawi

Kuching: Barisan Nasional (BN) bersedia membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Jepak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun beliau yakin GPS mampu mengekalkan kerusi tradisi milik Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, bantuan tetap akan dihulurkan oleh BN, jika ada permintaan.

"GPS cukup kuat di Sarawak dan Jepak adalah kerusi GPS. Jika diminta (berkempen) kita (BN) akan membantu.

"Kita juga yakin GPS mempunyai jentera yang cukup kuat untuk terus memenangi Dun Jepak," katanya yang juga Pengerusi BN.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas

mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) Bil. 2/2023 di sini, hari ini.

PRK Jepak akan diadakan pada 4 November ini susulan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip, 15 September lalu.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya mengemukakan permohonan kepada Kementerian Ekonomi serta Perbendaharaan agar memberi perhatian khusus kepada peruntukan kawasan luar bandar dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan di Parlimen, Jumaat ini.

"Peruntukan pembangunan kawasan luar bandar yang membabitkan kira-kira 24.5 peratus kawasan di negara kita ini dengan penduduk berjumlah 8.01 juta orang perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2024 nanti.

"Saya yakin, tentunya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku Menteri Kewangan turut memberikan keutamaan kepada soal pembangunan di luar bandar bukan setakat perseimbangan tetapi kita mahu memacu dan memperkasakan pembangunan luar bandar agar tidak akan terpinggir mengejar kemajuan," katanya.

Berkaitan projek luar bandar yang sudah dirancang sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, ia tetap diteruskan dengan peruntukan pembangunan yang disalurkan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

"Kita akan menggunakan lebih 30 peratus peruntukan yang disalurkan kepada KKDW untuk melaksanakan projek infrastruktur baharu selain penambahbaikan di Sarawak, Sabah dan tidak dilupakan juga kawasan luar bandar di Semenanjung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 4:45 PM