Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang melihat kepada prestasi kerja dan kecekapan penjawat awam sama ada mereka berhak menerima kenaikan gaji.

Perdana Menteri berkata, ini bagi memastikan kenaikan gaji tidak berlaku secara automatik sepenuhnya dengan kenaikan yang lazimnya mengikut tahun perkhidmatan ada ketikanya turut membabitkan penjawat awam bermasalah.

"Berhubung pengumuman kenaikan gaji ada pembangkang yang pertikai itu tidak usah kita kira kerana pemilihan (kenaikan gaji) itu berdasarkan prestasi.

"Sekarang ini umpamanya ikut tahun kadang-kadang orang itu lembab bekerja, tak hadir, ada masalah disiplin terus dinaikkan gaji secara automatik, kita nak ingatkan ia (kenaikan gaji) tidak automatik (sepenuhnya).

"Mungkin automatik untuk 95 peratus dan (bagi) lima peratus yang rasa lembab itu ada masalah kita akan perkenalkan kaedah supaya mereka dinafikan (kenaikan gaji)," katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tapak Pesta, Sungai Nibong di sini, hari ini.

ANWAR berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat 2024 di Tapak Pesta, Sungai Nibong, hari ini. FOTO Mikail Ong
ANWAR berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat 2024 di Tapak Pesta, Sungai Nibong, hari ini. FOTO Mikail Ong

Perdana Menteri menyifatkan kenaikan gaji yang tertinggi dalam sejarah negara itu harus dinikmati secara adil justeru kaedah atau mekanisme yang sesuai harus dipertimbangkan bagi mencapai hasrat tersebut.

"Tidak adil orang bekerja bertungkus-lumus dapat kenaikan, orang yang malas lembab pun dapat kenaikan cara automatik jadi harus diberikan pertimbangan itu," katanya.

Media semalam melaporkan Anwar memberi jaminan bahawa peningkatan gaji penjawat awam mulai Disember tahun ini mampu dilaksana menerusi kawalan pengurusan kewangan kerajaan.

Menteri Kewangan itu berkata, peningkatan gaji penjawat awam, dijangka membabitkan kos lebih RM10 bilion mulai tahun depan, boleh ditampung dengan pengurusan kewangan yang lebih tegas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 3:14 PM