Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Cadangan kenaikan gaji guru yang mempunyai kelayakan akademik lebih tinggi kini dalam radar perbincangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, ia berikutan pihaknya mengambil pandangan yang diutarakan berhubung cadangan berkenaan secara serius.

Katanya, meningkatkan kualiti guru daripada segi kelayakan akademik dan perkhidmatan pendidikan menjadi hasrat serta tumpuan utama KPM.

"Kita (KPM) ambil pandangan itu secara serius dan saranan kenaikan gaji penjawat awam seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan jadi tumpuan awam sebaik ekonomi negara pulih.

"Dan ia juga tidak lari daripada hasrat kita di peringkat KPM untuk lihat perkara sama dan ia (kenaikan gaji guru yang ada kelayakan akademik lebih tinggi) sedang berada dalam radar perbincangan sebagai konteks untuk meningkatkan kualiti guru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan supaya kerajaan menaikkan gaji guru yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi sebagai pengiktirafan kepada golongan berkenaan yang berusaha menambah ilmu dalam memantapkan sistem pendidikan negara.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui selepas Merasmikan Karnival Kita Madani Daerah Seberang Perai Selatan di Tapak Pasar Malam Sungai Duri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihaknya turut tidak menghalang mana-mana guru yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Kita tidak halang dan buka ruang seluasnya untuk mereka (guru) yang nak sambung pelajaran (untuk peroleh kelulusan lebih tinggi)

"Daripada segi integriti, keperluan dan kualiti guru ia akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

"Ketika ini, guru-guru yang ada sangat berkelayakan dan terlatih untuk menjadi seorang guru," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan disaran supaya menaikkan gaji guru yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi sebagai pengiktirafan kepada mereka kerana berusaha memperkemaskan diri bagi memantapkan lagi pendidikan demi anak bangsa.

Setiausaha Kluster Pendidikan dan Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN) Dr Anuar Ahmad dilaporkan berkata, ketika ini, gaji guru yang memiliki sarjana dan doktor falsafah (PhD) adalah sama dan ia wajar untuk dikaji semula.

Katanya, kerajaan harus memberikan insentif kepada guru yang mempunyai kelayakan lebih tinggi supaya mereka dapat merasakan pentingnya perlu untuk sambung belajar bukan sahaja menambah ilmu, sebaliknya boleh meningkatkan gaji dalam bidang yang diceburi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 12:18 PM