Nur Izzati Mohamad

Permatang Pauh: Kerajaan akan mengumumkan berita baik berhubung kenaikan gaji penjawat awam sebelum akhir tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada ketika ini kerajaan sedang mencari jalan untuk menaikkan gaji penjawat awam yang sudah sekian lama tidak dinaikkan.

Katanya, perkara itu diteliti kerana beliau mendengar keluhan daripada orang ramai khususnya penjawat awam.

"Baru-baru ini, kita bagi RM2,000 kepada penjawat awam dan sepatutnya ia cukuplah sehingga raya tetapi saya dengar (keluhan) dan atas itu kita beri lagi tambahan (RM500).

"Dalam tahun ini, kita juga akan cari jalan untuk naikkan gaji penjawat awam sebelum (akhir tahun).

"Kenapa (gaji) tak naik tahun 2020, tak naik 2021 dan tak naik 2022 dan nak tunggu kita baru naik. Itu tidak mengapa sebab kita dengar keluhan orang ramai (penjawat awam) dan Alhamdulillah (kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan) berita baik (kenaikan gaji) kita (bakal) umumkan dalam beberapa bulan akan datang selewat-lewatnya pada Belanjawan (2025)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani di Pusat Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

ANWAR ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Tun Abdul Razak. FOTO Bernama
ANWAR ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Tun Abdul Razak. FOTO Bernama

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau meminta rakyat meneliti ucapan Belanjawan 2025 sama ada pengumuman berhubung kenaikan gaji terbabit akan dibuat pada ketika itu.

"Saya tidak akan bagi tahu bila saya akan umum. Oleh itu dengar sampai habis (pembentangan belanjawan) itu nanti," katanya.

Terdahulu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat dilaporkan berkata, kedudukan gaji penjawat awam pada masa ini dilihat tidak mampu menampung beban perbelanjaan, susulan peningkatan kos sara hidup yang semakin ketara.

Beliau berkata, justeru langkah menaikkan gaji penjawat awam wajar dilaksanakan segera tanpa perlu menunggu pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 9:09 PM