FOTO Bernama
FOTO Bernama
BERNAMA

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) melonjak 43 anak tangga dalam Time Higher Education (THE) Asia University Rankings 2020, lonjakan tertinggi dalam kalangan universiti Malaysia.

Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Aini Ideris dalam kenyataan hari ini berkata, pencapaian itu meletakkan universiti berkenaan pada kedudukan ke-145 berbanding 188 pada tahun lalu.

Menurutnya, penilaian THE Asia University Rankings mengambil kira lebih daripada 60 peratus indikator kualiti penyelidikan dan penyelidikan berimpak berbanding penilaian ranking lain yang lebih tertumpu kepada kajian reputasi sesebuah universiti.

"Ini sekali gus mengiktiraf kedudukan UPM sebagai sebuah Universiti Penyelidikan yang tersohor dan bertaraf antarabangsa," katanya.

Aini berkata UPM berjaya menduduki tangga teratas dalam kalangan universiti Malaysia bagi indikator penyelidikan yang merangkumi jumlah penerbitan, pendapatan hasil dari penyelidikan serta reputasi penyelidikan.

THE Asia University Rankings 2020 yang diumumkan semalam menyenaraikan 489 universiti dari 30 negara di Asia.

Menurutnya, terdapat lima indikator utama dalam penilaian THE Asia University Rankings iaitu pengajaran (25 peratus), penyelidikan (30 peratus), petikan (citation) (30 peratus), tinjauan antarabangsa (7.5 peratus) dan pendapatan industri (7.5 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 2:31 PM