GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Universiti Utara Malaysia (UUM) melonjak kedudukan di tangga 161 dalam Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2021 berbanding di kedudukan 201-250 pada tahun lalu.

Lonjakan ini sekali gus menjadikan UUM satu-satunya universiti awam di bawah usia 50 tahun di Malaysia yang mencatatkan peningkatan.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, pencapaian berkenaan menaikkan lagi reputasi UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka di persada antarabangsa.

Katanya, 37 tahun penubuhan UUM melayakkan universiti ini menjadi antara universiti terbaik dunia di bawah usia 50 tahun.

"UUM terus konsisten mempamerkan peningkatan tahun demi tahun dengan usaha selama tiga tahun sejak 2019, usaha ini sudah membuahkan hasil melalui pelbagai inisiatif yang diambil.

"Bukan mudah untuk sesebuah universiti yang dilihat masih 'muda' untuk berada sebaris atau setaraf dengan univeriti terkemuka lain, namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dikecapi sekiranya seluruh warga UUM dapat memainkan peranan dan bekerja keras untuk mencapainya.

"Kita berjaya menunjukkan peningkatan dan ia amat membanggakan kerana lonjakan ini melibatkan reputasi universiti dalam pelbagai aspek,"katanya dalam kenyataan.

Ahmad Bashawir bagaimanapun berharap warga UUM tidak terus berasa selesa sebaliknya perlu sentiasa berusaha menjayakan agendalain kerana masih banyak lagi yang perlu dilaksanakan untuk meletakkan universiti berkenaan sebaris dengan universiti-universiti ternama dunia.

THE Young University Rankings mengguna pakai 13 indikator dalam lima kategori iaitu 30 peratus pengajaran (persekitaran pembelajaran), 30 peratus penyelidikan (jumlah, pendapatan dan reputasi), 30 peratus sitasi (pengaruh penyelidikan), 7.5 peratus pandangan antarabangsa (staf, pelajar dan penyelidikan) dan 2.5 peratus pendapatan industri (pemindahan pengetahuan).

Ranking 2021 membabitkan 475 universiti seluruh dunia berusia bawah 50 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 10:24 AM