Mohd Fadhly (kanan) mengiringi Mohd Shukri keluar dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas siasatan terhadap Pesuruhjaya PAS Perlis itu selesai. FOTO FACEBOOK SETIAUSAHA AKHBAR MB PERLIS AZREEN JUMRI
Mohd Fadhly (kanan) mengiringi Mohd Shukri keluar dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas siasatan terhadap Pesuruhjaya PAS Perlis itu selesai. FOTO FACEBOOK SETIAUSAHA AKHBAR MB PERLIS AZREEN JUMRI
Aizat Sharif


Kangar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak seharusnya menjadikan kandungan siasatan suruhanjaya itu terhadap Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, sebagai bahan media.

Ini termasuk juga siasatan suruhanjaya itu terhadap enam individu, termasuk anak kepada Mohd Shukri, membabitkan siasatan terhadap pemalsuan dokumen untuk tuntutan palsu.

Peguam, Mohd Fadhly Yaacob menempelak pihak yang menjadikan segala isi kandungan siasatan membabitkan anak guamnya itu sebagai satu bahan media.

"Saya rasa soalan ini perlu ditanyakan kepada SPRM dan sebagai peguam, saya berpendapat, isi kandungan siasatan tak seharusnya dijadikan bahan media.

"Ini akan menyebabkan satu 'public trial' yang tidak adil untuk anak guam saya," katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Beliau sebelum itu ditanya berkaitan perincian dan butiran siasatan SPRM terhadap anak guamnya.

Mohd Fadhly adalah peguam kepada Mohd Shukri serta enam individu, termasuk anak kepada Mohd Shukri, yang diminta memberikan keterangan untuk dua siasatan berasingan SPRM membabitkan salah guna kuasa dan siasatan terhadap pemalsuan dokumen untuk tuntutan palsu.

Sementara itu, meskipun timbul pelbagai spekulasi berhubung isu berkenaan, PAS Perlis tetap menaruh keyakinan bahawa siasatan yang berlaku dilaksanakan secara adil dan telus serta bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Ketua Penerangannya, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, pihaknya menyambut baik kenyataan Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis dalam memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam siasatan mereka berhubung isu rasuah yang membabitkan beberapa individu di negeri ini.

"Walaupun timbul pelbagai spekulasi berhubung isu itu, kita (PAS Perlis) tetap menaruh keyakinan bahawa siasatan yang berlaku dilaksanakan secara adil dan telus serta bebas daripada sebarang pengaruh politik.

"Pada masa sama, kita mengajak seluruh rakyat di negeri ini supaya mendoakan yang terbaik buat Menteri Besar kita dalam menghadapi saat-saat yang mencabar ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 4:31 PM