PASUKAN PDRM melakukan siasatan di Pusat Kargo KLIA susulan bungkusan didakwa berisi bom. FOTO Ihsan Polis KLIA.
PASUKAN PDRM melakukan siasatan di Pusat Kargo KLIA susulan bungkusan didakwa berisi bom. FOTO Ihsan Polis KLIA.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Sepang: 'Awas jangan campak nanti meletup, ini bom'. Ayat itu tertera pada sebuah bungkusan yang diimbas di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Bungkusan itu menambahkan lagi panik apabila terdapat bahan seperti bateri dan beberapa wayar di dalamnya, ketika imbasan dilakukan.

Susulan itu, pengendali mesin imbas di pusat terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Aeropolis pada 1.30 tengahari.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari'at berkata, sepasukan polis dihantar ke lokasi sebaik menerima laporan itu dan tindakan pengesanan unit anjing pengesan (K9) dilakukan.

"Hasilnya didapati negatif bahan letupan, namun terdapat ayat ancaman pada bungkusan berkenaan dan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan menyelamat mengikut prosedur operasi standard (SOP)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tembakan menggunakan 'pigstick' yang dipasang pada alat robotik mendapati tiada letupan berlaku.

"Selepas prosedur tembakan dilakukan, didapati bungkusan itu mengandungi komputer riba dan kabel pengecas dan siasatan mendapati ia dialamatkan kepada individu di Limbang, Sarawak.

"Pihak penghantar juga mengesahkan barangan berkenan adalah komputer riba. Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 8:40 PM