YASHASWI Sharma menerima sabun buku berbeza  daripada apa yang ditempah. FOTO agensi
YASHASWI Sharma menerima sabun buku berbeza daripada apa yang ditempah. FOTO agensi
Agensi

New Delhi: Impian seorang lelaki India mendapatkan komputer riba untuk ayahnya menerusi promosi jualan Big Billion Days di laman e-dagang Flipkart, punah apabila tempahan diterimanya adalah beberapa buku sabun basuh.

Seorang graduan IIM-Ahemdabad, Yashaswi Sharma berkata, dia memesan komputer riba dalam laman itu untuk diberikan kepada ayahnya.

"Pembelian itu dibuat semasa promosi Big Billion Days. Tetapi, Flipkart menghantar bungkusan sabun Ghadi ke depan pintu rumah saya.

"Apabila membuat aduan, syarikat e-dagang itu enggan membetulkan kesilapan itu, malah mereka menyalahkan saya," katanya menerusi catatan di LinkedIn miliknya.

Katanya, dia mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk menyokong dakwaannya, namun hanya sia-sia apabila syarikat itu tetap enggan bertanggungjawab.

"Satu kesilapan apabila bapa saya menerima bungkusan itu dengan tidak membuka kotak itu.

"Untuk mematuhi syarat, pembeli mesti membuka kotak terlebih dulu dan hanya memberikan kata laluan sekali sahaja (OTP) selepas memeriksa produk dengan teliti.

"Bapa saya percaya OTP akan diberikan selepas menerima bungkusan itu, seperti kebiasaan dalam kebanyakan penghantaran prabayar.

"Saya ada bukti CCTV menunjukkan kakitangan penghantar datang dan pergi tanpa kotak diperiksa. Selepas itu, proses membuka kotak mendedahkan tiada komputer riba di dalamnya," katanya.

Menurutnya, seorang eksekutif perkhidmatan pelanggan kanan Flipkart menegaskan sejak OTP diterima, tiada bayaran balik boleh dilakukan.

"Kesilapan ayah saya ialah dia mengandaikan bungkusan itu yang datang daripada penjual diinsuranskan Flipkart akan mengandungi komputer riba bukan sabun.

"Apa yang saya pertikaikan kenapa kakitangan penghantar itu tidak boleh memaklumkan kepada penerima mengenai konsep 'kotak terbuka' sebelum meminta OTP?" katanya.

Katanya, dia menyiarkan aduan itu sebagai usaha terakhir menyelesaikan isu itu sebelum merujuk kepada Forum Pengguna.

Dia juga memetik nama Menteri Kesatuan Piyush Goyal dan Ketua Pegawai Eksekutif Flipkart, Kalyan Krishnamurthy dalam hantarannya yang kini tular.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 11:56 AM