Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kertas siasatan kes tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, pada 14 April lalu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) minggu ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam pada itu mengesahkan reman ke atas suspek disambung lima hari lagi bagi melengkapkan siasatan.

"Ya, suspek sudah disambung reman lima hari lagi pada pagi tadi. Kita (polis) akan melengkapkan kertas siasatan dan ia akan dirujuk kepada TPR dalam tempoh reman ini," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Mahkamah Majistret Kota Bharu membenarkan sambung reman terhadap Hafizul Hawari, 38, bermula esok sehingga Sabtu.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Dalam kejadian jam 1.20 pagi 14 April lalu, dua das tembakan dilepaskan suspek di balai ketibaan yang terletak di aras tiga KLIA.

Suspek dipercayai cuba menembak isterinya dengan menggunakan sepucuk pistol ketika wanita itu menunggu jemaah umrah pulang dari Tanah Suci di Balai Ketibaan Antarabangsa bersama dua pengawal peribadi.

Bagaimanapun, salah satu das tembakan itu mengenai pengawal peribadi isteri suspek dan suspek berjaya ditahan di Jalan Bayam, di sini, selepas 36 jam melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 1:30 PM