HUSSEIN (tengah) hadir pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO BERNAMA
HUSSEIN (tengah) hadir pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO BERNAMA
Samadi Ahmad

Sepang: Tindakan menyelamatkan orang awam terlebih dahulu adalah kaedah terbaik berbanding bertindak menahan suspek kes tembak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian itu berlaku di kawasan orang awam termasuk terdapat kanak-kanak di lokasi kejadian.

Menurutnya, lebih baik kita keluarkan suspek dari kawasan terbabit dan selamatkan orang awam terlebih dahulu.

Katanya, itu kaedah terbaik daripada kita libatkan dengan suspek yang bersenjata kerana keutamaan kita lebih kepada orang awam.

"Sekiranya polis libatkan suspek dalam kejadian itu berkemungkinan keadaan menjadi lebih buruk," katanya pada sidang media Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Asisten Komisioner Azman Shari'at dilantik sebagai Ketua Polis IPD KLIA baharu menggantikan Senior Asisten Komisioner Imran Abd Rahman yang bertukar ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman.

Kenyataan Hussein itu merujuk kepada pertanyaan pemberita bagi mengulas dakwaan kenapa pihak polis tidak menangkap suspek pada hari kejadian susulan kes ugutan jenayah terhadap wanita berkenaan beberapa bulan lalu.

Media sebelum itu melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi semalam, suspek berusia 38 tahun melarikan selepas melepaskan dua das tembakan dengan menyasar isterinya yang menunggu ketibaan jemaah umrah.

Bagaimanapun, salah satu peluru mengenai pengawal peribadi wanita berkenaan dan dilaporkan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Cyberjaya.

Hussein berkata, pada awal tahun lalu suspek ditangkap dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan direman selama tiga hari untuk siasatan.

Menurutnya, siasatan masih berjalan untuk dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pada ketika itu, polis tidak lihat ancaman begitu besar kerana bagi setiap kes rumah tangga ada peringkatnya, jadi kalau kita ada keterangan lengkap baharu dapatkan perintah interim dan sebagainya mengikut prosedurnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 1:49 PM