Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Shah Alam: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakui parti itu terkesan dengan serangan bertalu-talu dibuat oleh pembangkang terhadap Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli berkata, disebabkan itu pihaknya menggesa agar pimpinan parti itu mengambil peranan untuk mempertahankan Anwar yang juga Perdana Menteri.

"Sudah tentu kita terkesan bila ada serangan bertalu-talu terhadap Datuk Seri Anwar. Saya juga rasa pimpinan masing-masing mengambil peranan untuk mempertahankan.

"Pada masa sama, tumpuan dan tugas kita paling besar terutama untuk Datuk Seri Anwar dan juga kepimpinan parti yang berada dalam kerajaan ialah mentadbir serta membina semula negara ini.

"Jadi, ada perkara yang kita perlu tarik rambut daripada tepung. Ada juga perkara kita perlu tangani supaya tidak pergi luar kawalan. Yang penting ialah kekuatan organisasi parti terutamanya komunikasi itu perlu kita bina," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi dialog sempena Konvensyen 25 Tahun Keadilan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, hari ini.

Terdahulu seorang ahli parti itu bertanyakan mengenai bagaimana pimpinan PKR untuk menghentikan tindakan pembangkang yang menghina dan mahu menjatuhkan Anwar.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sekiranya kekuatan organisasi terutamanya aspek komunikasi diperkuatkan, isu serangan itu dapat ditangani dengan lebih tersusun.

"Saya tak kata apa yang kita ada sekarang ini baik. Kita ada ruang besar untuk perbaikinya.

"Sebab itu, hari ini kita membentangkan rancangan melalui Pemerkasaan Organisasi Parti 25 Tahun (POP25) dan Keadilan Menang Siri PRU16 (KEMAS16)," katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu berpandangan, keberkesanan sesebuah parti juga tidak diukur dengan siapa yang membawa isu lebih banyak.

"Saya tak rasa rasa keberkesanan parti dapat diukur dengan 'siapa yang menjerit lagi kuat.' Kalau kita pembangkang 'menjerit lebih kuat,' boleh guna sebagai pendekatan.

"Bila jadi kerajaan, ada pertimbangan lain terutama keutuhan dalam pentadbiran itu kita kena pertahanankan.

"Saya yang garang ini pun bila jadi kerajaan, orang kata tak garang. (Sebenarnya) bukan sebab tak garang ke apa (tetapi) kita ada tanggungjawab yang lebih (berbanding) semasa kita pembangkang dulu," katanya.

Konvensyen 25 Tahun persiapan awal pastikan Anwar kekal PM - Rafizi

Kejayaan reformasi diukur berdasarkan manfaat diperoleh rakyat - Saifuddin Nasution

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 12:39 PM