KAMARUL menunjukkan nombor telefon berbeza daripada pemanggil tidak dikenali yang membuat panggilan petang semalam. FOTO Rosman Shamsudin
KAMARUL menunjukkan nombor telefon berbeza daripada pemanggil tidak dikenali yang membuat panggilan petang semalam. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


Slim River: Seorang lelaki 'trauma' melihat telefon selepas menerima lebih 100 panggilan daripada orang tidak dikenali antara jam 2 petang sehingga 6 petang semalam.

Dia yang dikenali sebagai Kamarul, 45, berkata, panggilan telefon daripada nombor berbeza masuk bertalu-talu sehingga mengganggu rutin hariannya.

Katanya, pada mula dia menyangka orang yang membuat panggilan tersilap nombor atau panggilan kecemasan daripada keluarga.

"Saya sempat menjawab beberapa panggilan telefon dan rata-rata mereka memaklumkan saya yang menghubungi mereka terlebih dulu.

"Saya agak terkejut kerana saya tidak pernah menghubungi nombor berkenaan termasuk menghantar mesej dalam peti simpanan ringkas (SMS)," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Kamarul berkata, semua nombor yang muncul dalam telefon bimbit miliknya adalah nombor baharu yang tiada dalam senarai yang tersimpan dalam telefon.

"Bayangkanlah setiap minit telefon bimbit berbunyi bertalu-talu tanpa henti dan seolah-olah saya ini berkerja sebagai operator telefon.

"Setiap panggilan yang dijawab memaklumkan saya yang terlebih dulu menghubungi nombor berkenaan.

"Saya terpaksa menjawab setiap panggilan dan menerangkan kepada mereka berkemungkinan telefon saya digodam oleh pihak tertentu," katanya.

Berikutan kejadian berkenaan, dia ke pusat perkhidmatan rangkaian telefon untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya.

Katanya, kakitangan pusat berkenaan memaklumkan berkemungkinan telefon bimbit dia digodam dan akan berusaha mengatasi masalah terbabit dengan kadar segera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 11:54 AM