Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Shah Alam: Konvensyen 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah persiapan awal bagi memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), kata Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, disebabkan itu, pihaknya melancarkan dua kerangka baharu iaitu Pemerkasaan Organisasi Parti 25 Tahun (POP25) dan Keadilan Menang Siri PRU16 (KEMAS16).

"Kita panggil POP25 iaitu kerangka pemerkasaan organisasi parti bersempena dengan ulang tahun 25 tahun parti. Satu lagi ialah kerangka kerja yang kita panggil KEMAS16 iaitu kerangka kerja Keadilan menang siri Pilihan Raya Umum ke-16.

"Kedua-dua kerangka kerja ini tujuannya ialah untuk kita mengukuhkan kembali kekuatan kita daripada akar umbi di bawah sehingga ke atas bagi mencipta kekuatan baru supaya kita dapat berada di depan dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap semasa Konvensyen 25 Tahun Keadilan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, hari ini.

Dalam pada itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, kekuatan parti itu sejak tahun 1998 iaitu kemahiran menggunakan media alternatif kini digunakan oleh pihak lawan untuk menyerang kembali mereka.

Menurutnya, kemahiran itu juga bukan lagi dominan oleh ahli parti itu seperti yang pernah diperlihatkan sebelum ini.

"PKR adalah parti yang paling awal yang menggunakan Facebook sebagai pentas ceramah seawal 2010.

"Itu kekuatan yang kita bina daripada awal yang sekarang ini telah digunakan oleh lawan kita untuk melawan kita.

"Kekuatan kita di media alternatif, di media elektronik contohnya bukan lagi di peringkat dominan seperti yang kita pernah ada dulu," katanya.

Beliau dalam masa sama turut menyatakan pada masa ini pihaknya juga menghadapi cabaran baru selepas mereka menjadi kerajaan.

"Kekuatan kita dalam mengupas isu sekarang ini akan ada cabaran baru kerana sebahagian besar pimpinan kita adalah pimpinan kerajaan," katanya.

RAFIZI semasa berucap semasa Konvensyen 25 Tahun Keadilan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah
RAFIZI semasa berucap semasa Konvensyen 25 Tahun Keadilan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 11:58 AM